KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas tuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank.
Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin kelihatan tenang dan hanya menjawab faham dan minta dibicara tuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.
“Minta bicara,” katanya.
Beliau yang berkerusi roda dibenarkan berada di luar kandang tertuduh sepanjang proses pertuduhan itu.
Daim yang memegang jawatan dari 1984 hingga 1991 didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023.
Notis telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023, dengan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank.
Harta terbabit antaranya tujuh kenderaan berjenama mewah termasuk Mercedes Benz, Jaguar, Austin Morris dan Rolls Royce.
Selain itu, 38 syarikat antaranya Ibu Kota Developments Sdn Bhd, Menara Ampang Sdn Bhd dan Avillion Berhad, 25 hartanah dan tanah di bawah syarikat sekitar Kuala Lumpur, Ampang, Bangsar; Raub, Pahang; Kuala Muda Kedah; Port Dickson, Negeri Sembilan serta akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala pasukan Daim diwakili barisan pendakwaan yang diketuai peguam M Puravalen.
Pada 29 Disember lalu, SPRM mengesahkan siasatan berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap Daim dibuat berdasarkan maklumat Kertas Pandora yang dimulakan sejak Februari lalu.
SPRM berkata, satu notis mengikut Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) diserahkan kepada beliau supaya mengisytiharkan segala aset, sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis serta akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis pada 7 Jun lalu.
Daim memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan diberikan lanjutan pada 6 Julai, 10 Ogos, 11 September, 11 Oktober dan terakhir pada 14 November lalu untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.
“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham mengikut Seksyen 38 (1) Akta 694 (Penyitaan Harta Tak Alih) pada 18 Disember lalu.
“Daim disiasat mengikut Seksyen 23 akta sama dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” kata SPRM.
Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Nai’mah, 67, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus jurubahasa membaca pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Wanita itu juga didakwa dengan sengaja memberi satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Harta itu adalah Menara Ilham, dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd; dua kenderaan mewah Mercedes Benz; dua rumah di Persiaran Bukit Tunku dan Jalan Athinahapan, Taman Tun Dr Ismail (TTDI); empat lot tanah pegangan bebas di Bukit Tunku dan satu lot tanah, masing-masing di Pulau Pinang dan TTDI – 29 Januari, 2024