KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai video yang tular di media sosial mengenai dakwaan anggota trafik menawarkan bayaran saman ke atas pasangan warga United Kingdom (UK).
Pengarahnya, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pada jam 4.30 petang tadi, JSPT mengesan satu video tular di platform YouTube oleh ’Tread the globe’ dan lain-lain media sosial mengenai perkara tersebut dengan pasangan terbabit sedang dalam edisi jelajah Malaysia.
“Kita ambil maklum akan kejadian yang berlaku dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan tersebut.
“JSPT tidak akan bertoleransi dengan sebarang salah laku oleh mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azman berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tidak tepat dan kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menyalurkannya kepada JSPT bagi membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan melalui talian bilik gerakan 03-22663356 atau e-mel [email protected].
“JSPT akan memaklumkan semula hasil siasatan sekiranya ada perkembangan terkini,” katanya.
Terdahulu tular video di media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan bayaran saman ke atas pasangan warganegara berkenaan di lokasi dan tarikh yang tidak dinyatakan.
Namun seorang pengguna laman X mendakwa, pasangan tersebut disaman atas kesalahan memandu melebihi had laju dan diberikan pilihan untuk membayar saman sebanyak RM300 di balai polis atau RM100 kepada polis terbabit. – 28 Januari, 2024