KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa segera melakukan transformasi dalam sistem pendidikan negara dengan memberi fokus bidang keusahawanan melibatkan semua pelajar sekolah terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, langkah itu wajar dilakukan agar dapat menghentikan jurang ketidaksamarataan pegangan ekonomi yang kini lebih banyak dikuasai bukan bumiputera.
Abdul Rahim berkata, sistem pendidikan ketika ini meletakkan 70 peratus kepada akademik dan 30 peratus program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“TVET perlu diperkasa termasuk menambah bidang keusahawanan supaya selepas anak-anak kita tamat pengajian, mereka boleh terus bekerja dengan kemahiran seperti bancuh simen, buat siling dan pendawaian serta menanam nilai berniaga dalam sistem pendidikan kita.
“Barulah mereka boleh berjaya seperti di Jerman dan Taiwan yang sudah lama menggunakan sistem akademik seperti ini,” katanya ketika menjadi panel program Wacana Intelek: Pembangunan Ekonomi Bumiputera Di Bawah Kerajaan Madani di sini, semalam.
Panelis lain ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali dan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Ahmad Yazid Othman.
Wacana itu dianjurkan lima pertubuhan iaitu Inisiatif Bina Bangsa (Bina), Perkasa, DPMM, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Persatuan Masa Depan Usahawan Melayu (Mafea) yang dimoderator Pengerusi Bina, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Pada masa yang sama, Abdul Rahim menyarankan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan jawatankuasa nasional yang turut dianggotai parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggubal dasar bagi memajukan lagi pembangunan ekonomi Melayu dan bumiputera.
“Kalau kerajaan Madani ikhlas untuk melaksanakan perubahan, kena wujudkan jawatankuasa nasional yang bukan hanya dianggotai pemimpin kerajaan tetapi juga pembangkang dan NGO untuk duduk bersama sumbang idea sebelum penggubalan.
“Kalau buat sesama mereka misalnya antara DAP, Amanah, PKR dan Umno, tiada apa dapat dilakukan, mungkin tumpuan soal kesamarataan. Macam mana nak beri sama rata, jika penguasaan ekonomi bukan bumiputera 80 peratus manakala Melayu hanya 20 peratus?
“Kena asingkan dasar ekonomi untuk bumiputera untuk bantu orang Melayu yang majoriti (dalam negara) dan tak terbela sebab kita masih terkial-kial sedangkan mereka (bukan bumiputera) sudah terbang jauh,” katanya. – 29 Januari, 2024