KUALA LUMPUR – Dua bulan selepas mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal diberi tugas untuk mengetuai sebuah jawatankuasa di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).
Bercakap di Perak, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Syed Hussin akan membantu mengusahakan cara untuk menangani peningkatan kos sara hidup.
“Hari ini, saya bersama rakan saya, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin, untuk mengusahakan inisiatif ini… Usaha kita tidak mencukupi jika kita tidak dapat mengawal harga barangan.
“Hari ini, saya boleh mengesahkan bahawa beliau akan mengetuai NACCOL dan menambah lebih banyak inisiatif supaya Jualan Madani dapat diperbaiki dan diperluaskan di negara ini,” katanya pada Program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu, Ipoh, pagi tadi.
Pada 28 November lalu, Syed Hussin mengisytiharkan sokongannya kepada Anwar di Dewan Rakyat, menjadikannya Ahli Parlimen kelima daripada Perikatan Nasional (PN) yang berbuat demikian.
Sejak itu, beliau mendakwa lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, Syed Hussin tidak keluar daripada Bersatu, dan begitu juga, Ahli Parlimen lain yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar bagi mengelak kehilangan kerusi mereka seperti ditetapkan bawah undang-undang anti-lompat parti yang baharu di negara ini.
Ahli Parlimen Bersatu keenam dan terbaharu mengisytiharkan sokongan kepada Anwar ialah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.
Ahli Parlimen terdahulu yang melakukan perkara sama ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli). – 28 Januari, 2024