PETALING JAYA – Penyanyi kelahiran Singapura, Imran Ajmain menafikan dirinya bermasam muka dengan Datuk Fazley Yaakob selepas mereka tidak lagi dilihat bersama seperti sebelum ini.
Menurut Imran atau nama sebenarnya, selepas 15 tahun dia kini tidak lagi bekerja dengan Fazley dan kembali ke Singapura untuk menetap bersama ibunya selain mendapat tawaran kerja lain di sana.
“Selama tempoh tersebut sudah banyak produk yang keluar hasil idea saya dan berjaya. Saya juga sangat sibuk sewaktu bekerja di bawah syarikat Suka Sucre.
“Malah sampai tak ada masa nak jumpa ibu saya di Singapura. Bila kawan-kawan dari Singapura nak datang Kuala Lumpur, saya minta mereka tumpangkan ibu saya.
“Tidak dinafikan perkembangan kerjaya seni saya sedikit tersekat ketika saya masih bekerja. Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya fokus pada diri saya pula.
“Jadi tiada istilah saya bergaduh dengan Fazley. Kami masih berkawan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Malam Seribu Tahun.
Selepas berhenti kerja bersama Fazley, perjalanan karier seni Imran juga dilihat kembali bersinar.
Malah dia kini muncul dengan lagu baharu berjudul Padam Dan Pergi serta bakal mengadakan konsert solo sulungnya tidak lama lagi.

“Saya baru selesai mengadakan konsert di Singapura. Alhamdulillah (tiket) konsert itu sold out (habis terjual). Konsert di Malaysia pula bakal berlangsung pada 2 dan 3 Februari ini. Dan saya tak sangka tiket konsert ini juga sold out dalam masa 55 minit sahaja.
“Sejujurnya saya menangis lepas tahu tiket konsert ini sold out. Saya tak sangka seorang penyanyi seperti saya yang tidak punya ramai pengikut di media sosial dan tidak sepopular penyanyi lain dapat merasai peluang seperti ini,” jelasnya.
Imran turut berterima kasih kepada penganjur konsert tersebut iaitu Elmi Elmo yang membuka ruang kepadanya untuk kembali aktif sebagai penyanyi.
“Semua ini tak akan terjadi kalau bukan kerana Elmi Elmo. Dia yang memberi peluang kepada saya untuk menjadi salah seorang penyanyi di acara anjurannya pada 2022.
“Dari situ, saya dapat sokongan hebat dari penonton yang hadir sehingga jumlah pendengar di Spotify saya naik.
“Kemudian saya sertai banyak lagi acara anjurannya seperti Malam Galau. Dari situ saya lihat penonton masih tahu lagu-lagu saya seperti Seribu Tahun dan Selamat Ulang Tahun.
“Sejujurnya bila tengok reaksi begitu, saya hampir pitam selepas buat persembahan. Saya rasa macam tak percaya ada orang yang tahu lagu-lagu saya,” ujarnya. – 26 Januari, 2024