KUALA LUMPUR – Seorang lagi anak kepada bekas Perdana Menteri akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 pagi ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Scoop berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Menurut beliau, keterangan beliau diambil selepas abangnya hadir ke ibu pejabat SPRM pada 17 Januari lalu.
“Kita akan serah notis perintah untuk beliau isytihar harta di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009,” katanya.
Pada 18 Januari lalu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengesahkan telah memanggil ahli perniagaan, Mirzan Mahathir ke ibu pejabatnya di Putrajaya untuk membantu siasatan yang sedang dijalankan.
Mirzan hadir ke ibu pejabat SPRM pada pukul 9.30 pagi dan satu perintah notis telah disampaikan kepada beliau di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.
Perintah itu mengkehendaki beliau mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.
Menurut kenyataan SPRM, perintah itu adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM telah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti yang berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora juga Kertas Panama.
Sehingga kini, seramai 10 saksi telah dipanggil bagi tujuan dirakam pernyataan serta SPRM sedang mengkaji dokumen kewangan serta pemilikan aset entiti-entiti yang tersenarai dalam laporan-laporan tersebut dan siasatan masih giat dijalankan. – 26 Januari, 2024