KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid mengunci mulut mengenai kesihatan suaminya, Tun Daim Zainuddin yang ketika ini dilaporkan berada di hospital.
“Saya tidak berada di sini untuk bercakap mengenai isu personal (perkara)…. ia adalah maklumat personal, saya tidak suka berkongsi maklumat personal.
“Saya mengalami hari yang panjang, dan saya nak balik ke hospital, di mana suami saya ketika ini berada,’’ katanya yang menolak soalan-soalan daripada wartawan pada sidang media di luar kompleks mahkamah di sini, hari ini.
Pada 8 Januari lalu, Daim telah dimasukkan ke hospital. Bagaimanapun, keadaannya tidak didedahkan.
Pagi ini, Na’imah telah didakwa dan mengaku tidak bersalah atas kesalahan gagal mengisytihar hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Na’imah, 67, didakwa di bawah Seksyen 36 (1)(b) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 5 tahun dan boleh didenda tidak melebihi RM100,000.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bertarikh 8 November 2023 yang dihantar kepada beliau oleh pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023 iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.
Beliau juga adalah kakak kepada penasihat ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid, 48.
Mahkamah mengarahkan ikat jamin sebanyak RM250,000 ke atas Na’imah, termasuk menyerahkan passport.
Sebaik sahaja membayar ikat jamin, Na’imah mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah dan mensasarkan lawan politik menggunakan kuasa untuk tujuan peribadi.
“Saya mempunyai keyakinan, insya-Allah, tetapi tiada jenayah dilakukan oleh saya, dan ini akan saya buktikan di mahkamah,’’ katanya pada sidang media di luar mahkamah.
Beliau juga menyampaikan pesanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim: “kuasa itu singkat dan perhitungan sentiasa menunggu mereka yang menyalahgunakannya.’’
Ditanya apa motif di sebalik pesanan itu, Na’imah berkata “…ia jelas.”
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2024/01/daim-zainuddin-bernama-2-2-1-1.jpg)
Pada 10 Januari lalu, Na’imah dan dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir dipanggil memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Sementara Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan Umno ketika parti itu mentadbir negara.
Bulan lalu, SPRM turut menyita bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di ibu negara, yang dikatakan milik keluarga Daim.
Daim, 85, dan keluarganya telah memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dengan menamakan SPRM dan pendakwa raya sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam afidavit sokongannya, Daim menegaskan kejayaannya sebagai ahli perniagaan, dengan aset dan harta yang diperoleh melalui cara yang sah, mendahului kemasukannya ke dalam politik.
Siasatan SPRM terhadap Daim telah dibuka hampir setahun lalu, pada Fabruari 2023, berdasarkan kepada namanya yang dilaporkan dalam kertas Pandora 2021. Namun tiada tuduhan dikenakan ke atasnya setakat ini. – 23 Januari, 2024