KUALA LUMPUR – Polis masih lagi meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dengan fokus kepada soal siasat kejiranan serta penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor bagi mengumpul pentunjuk yang boleh membawa kepada tangkapan suspek.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Scoop berkata, setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan positif berhubung kes tersebut.
“Setakat ini masih belum ada sebarang perkembangan positif namun pihak polis masih lagi meneruskan siasatan dengan menyoal siasat penduduk-penduduk berhampiran (Apartment Idaman) untuk mendapatkan maklumat.
“Siasatan di lokasi penemuan mayat pula sudah selesai sepenuhnya,” katanya.

Sebelum ini, Hussein memberi jaminan siasatan kes Zayn Rayyan tidak akan dihentikan meskipun tiada petunjuk baharu ditemukan setakat ini.
Polis turut meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dan masih menunggu maklum balas berkaitan semakan pangkalan data bagi membantu siasatan kes bunuh berkenaan.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilapor hilang pada 5 Disember tahun lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya, keesokan hari.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam sidang medianya sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemukan. – 20 Januari, 2024