Marah perosak diri, individu perlu bijak kawal emosi demi kebaikan kehidupan

Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak menekankan kepentingan untuk mengawal emosi seharian, agar tiada sebarang perkara buruk berlaku

5:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setiap individu dinasihat untuk sentiasa mengawal dan menjauhi perasaan marah kerana tabiat buruk itu, hanya mendatangkan pelbagai keburukan serta kesan tidak baik dalam kehidupan.

Itu adalah intipati teks Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang menekankan kepentingan untuk mengawal emosi seharian, agar tiada sebarang perkara buruk berlaku, termasuk perlakuan jenayah yang sering tercetus apabila amarah menguasai diri.

“Mempunyai sikap marah yang sukar dikawal adalah tabiat buruk perlu dijauhi demi kesihatan tubuh, kesejahteraan hidup dan kebaikan orang sekeliling.

“Lazimnya mereka yang bersikap pemarah atau terlalu mudah marah hanya disebabkan kesalahan kecil, dikenali dengan istilah panas baran yang mana mereka sukar mengawal emosi, tidak mampu berfikir dengan baik dan bertindak mengeluarkan kata-kata kesat, menengking, mengherdik serta sebagainya.

“Kebiasaannya marah yang berpunca dari sifat dengki, dendam kesumat atau kebencian melampau, boleh menjadi punca kepada kelakuan di luar jangkaan atau perbuatan jenayah seperti memukul, mencedera, hatta ke peringkat sanggup membunuh,” katanya.

Dalam mengawal kemarahan, mimbar turut mengingatkan muslimin dan muslimat, agar berusaha melawan mainan serta godaan syaitan yang sentiasa mempengaruhi emosi manusia untuk melakukan keburukan.

Malah, katanya, emosi marah juga dikhuatiri boleh memberi kesan buruk terhadap kesihatan seperti peningkatan tekanan darah, sesak nafas dan berdepan risiko serangan jantung, jika ia tidak mampu dikawal dengan baik.

Teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula membicarakan topik Dahsyatnya Neraka yang banyak disebut dalam Al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Perkataan dan ancaman mengenai neraka banyak disebut dalam Al-Quran sebagai satu peringatan serta memberi kesedaran dan keinsafan kepada manusia untuk kembali bertaubat dari melakukan dosa serta kekufuran.

Ia juga mengingatkan jemaah agar menjauhi perbuatan yang boleh ‘menghumban’ mereka ke neraka, antaranya menjauhi zina, rasuah atau riba.

Mereka juga diingatkan tidak menjadi individu yang ‘makan’ harta anak yatim serta gemar melakukan maksiat mulut, seperti suka menipu, mengumpat dan sering menjadi batu api dengan melaga-lagakan pelbagai pihak.

“Rasulullah SAW menggambarkan mengenai seksaan dahsyat dalam neraka. Banyak lagi hadis Baginda SAW yang menceritakan betapa ngerinya seksa neraka, antaranya baginda menyatakan bahawa tahap kepanasan api di dunia ini hanyalah satu daripada 70 kepanasannya.

“Maka, adakah kita rasa sanggup menghadapi seksaan pedih di neraka kelak? Marilah kita insafi diri dan segera bertaubat kepada Allah SWT, selain meninggalkan segala perbuatan serta perkataan yang hanya menjerumuskan diri kita ke jurang neraka yang amat dalam.

“Hanya kepada Allah SWT jualah tempat kita memohon keampunan dan perlindungan dari seksaan neraka yang dahsyat,” katanya. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related