Sara 2024: Penerima Semenanjung terima mulai Isnin ini

Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan mula memperoleh bantuan disasarkan kerajaan untuk mengangkat taraf ekonomi golongan rentan itu, pada 19 Februari depan

2:25 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Program bantuan subsidi bersasar untuk rakyat, Sumbangan Asas Rahmah (Sara) 2024 akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Isnin ini bagi penerima di Semenanjung.

Penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan mula menikmatinya pada 19 Februari depan.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataannya memaklumkan, penyaluran bantuan itu bagi tahun ini, akan menyaksikan beberapa penambahbaikan.

Malah, program pada kali ini, ujarnya, membabitkan peningkatan dana lebih lima kali ganda, iaitu RM700 juta untuk 700,000 penerima, berbanding RM130 juta bagi 210,000 penerima pada 2023.

Katanya, penambahbaikan itu termasuk memperluas jumlah penerima layak untuk bantuan terbabit, merangkumi golongan miskin dan miskin tegar, berbanding pada tahun lalu yang hanya terhad kepada miskin tegar.

“Penambahbaikan ini juga meningkatkan kadar bantuan untuk isi rumah Sara kepada RM1,200, berbanding RM600 pada 2023, manakala, kadar untuk golongan bujang kekal RM600.

“Selain itu, mengambil kira maklum balas penerima, penggunaan kredit program Sara diperluas daripada hanya makanan asas kepada tiga kategori barangan asas tambahan, iaitu kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan,” katanya.

Di bawah program itu, menurutnya, penerima layak boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar.

Program Sara kali ini membabitkan peningkatan dana lebih lima kali ganda, iaitu RM700 juta untuk 700,000 penerima, berbanding RM130 juta bagi 210,000 penerima pada 2023. – Gambar Kementerian Kewangan, 19 Januari, 2024

“Kelayakan untuk menerima bantuan Sara adalah berasaskan status kategori miskin dan miskin tegar dalam pangkalan data e-Kasih, iaitu data rujukan untuk kementerian dan agensi kerajaan,” katanya.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, bagi penerima program Sara di Semenanjung, bantuan itu akan disalurkan secara bulanan, iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan, manakala RM50 sebulan untuk golongan bujang.

“Bagi penerima di Sabah, Sarawak dan Labuan pula, bantuan Sara akan disalurkan dua kali setahun, iaitu RM600 untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan serta RM300 untuk golongan bujang pada 19 Februari dan 12 Ogos, melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara,” katanya.

Bagi penerima program Sara di Semenanjung, bantuan akan disalurkan secara bulanan, iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan, manakala RM50 sebulan untuk golongan bujang. – Gambar Kementerian Kewangan, 19 Januari, 2024

Mengambil kira sambutan program Sara yang menggalakkan pada tahun lalu, kerajaan sudah memperluaskan rangkaian rakan runcit (pasar raya atau kedai) yang mengambil bahagian kepada 515 buah, iaitu setakat 17 Januari lalu, berbanding 424 buah pada 2023 di seluruh negara.

“Kementerian Kewangan ingin menasihati penerima Sara agar sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program Sara.

“Soalan lazim dan semakan status kelayakan Sara hanya boleh didapati di portal rasmi Sumbangan Tunai Rahman (STR) melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my mulai jam 4 petang pada 19 Januari dan maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan Sara pula, boleh dirujuk melalui pautan https://www.mykasih.com.my mulai 22 Januari,” katanya. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related