Kenaikan tambang bas sekolah: ‘Janganlah terlalu tinggi, membebankan’

Sejak 2015, kerajaan sudah tidak lagi mengawal harga tambang bas sekolah

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Janganlah terlalu tinggi, membebankan ibu bapa’.

Demikian rayuan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) kepada pihak bertanggungjawab dalam isu kenaikan tambang bas sekolah bagi penggal baharu persekolahan pada Mac ini.

Biarpun memahami keperluan pengusaha bas sekolah untuk menaikkan tambang, namun PAGE memohon pertimbangan agar kadar peningkatan itu tidak terlalu membebankan ibu bapa.

Pengerusinya, Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata, sejak 2015, kerajaan sudah tidak lagi mengawal harga tambang bas sekolah, sebaliknya perkara itu ditentukan menerusi hasil perbincangan bersama di antara pengusaha dengan ibu bapa.

“Ramai dalam kalangan ibu bapa faham akan perlunya tambang bas sekolah dinaikkan namun begitu kenaikannya hendaklah tidak terlalu tinggi supaya ibu bapa juga tidak terbeban menanggungnya.

“Sejak sembilan tahun lepas kerajaan tidak lagi mengawal harga tambang bas sekolah, jadi harganya terpulanglah kepada persetujuan pihak pengelola bas sekolah dan ibu bapa.

“Jika sudah bersetuju maka ibu bapa perlulah menepati kontrak walaupun ada beberapa bulan tidak berlangsung sesi persekolahan namun mereka tetap perlu membayar seperti biasa, mengikut perjanjian kontrak,” katanya kepada Scoop hari ini.

Dalam pada itu, bagi penduduk ibu kota, PAGE menyarankan kepada keluarga berpendapatan rendah atau B40 menggunakan alternatif perkhidmatan bas percuma yang disediakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meringankan beban menerusi kenaikan tambang bas sekolah anak masing-masing.

“Bagi mengurangkan beban, DBKL juga ada menyediakan perkhidmatan bas percuma menerusi program myschoolbus@wilayah untuk keluarga B40.

“Mungkin ibu bapa boleh menggunakan alternatif ini yang disediakan khusus untuk pelajar Tahun 1 hingga Tingkatan 5 yang menetap di Perumahan Awam (PA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Swasta Kos Rendah DBKL,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan baharu dijangka meningkat susulan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan terutama di kawasan bandar seperti Lembah Klang.

Pengerusi Persatuan Gabungan Pengusaha dan Pemandu Bas Sekolah Malaysia, Dr Muruga Malai berkata, kenaikan tambang tidak dapat dielakkan memandangkan pengusaha kini terbeban dengan peningkatan harga alat ganti kenderaan serta pelan insurans.

Menurutnya, kenaikan harga RM10 dirasakan munasabah bagi membolehkan ‘situasi menang-menang’ di antara pengusaha serta ibu bapa dapat dicapai.

“Kami bukan suka-suka mahu menaikkan tambang bas, sebaliknya mahu sama-sama membantu pengusaha bas sekolah yang kini terbeban dengan kenaikan harga alat-alat ganti, minyak pelincir, insurans untuk murid-murid dan kenderaan sudah melonjak naik.

“Kenaikan kira-kira RM10 kami rasakan munasabah dan berharap ibu bapa serta penjaga memahami situasi kami yang mana kebanyakan pengusaha bas sekolah terdiri daripada golongan ibu tunggal dan warga emas,” katanya. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

When a Minister walked out of a meeting –Terence Fernandez

Patriotism and professionalism go out the window when businessmen and CEOs hold Government to ransom

Mahu jadi ratu cerita komedi romantik macam Fazura dan Lisa Surihani, impian Siti Khadijah berlakon dalam karya Red Comm akhirnya tercapai

Siti Khadijah juga akui sudah bersedia menerima respon atau kritikan terhadap lakonannya sebagai Karma dalam From Saga With Love ini.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Related