Neelofa, Awal kongsi pengalaman berdepan krisis dalam kerjaya

Neelofa dan Awal berpendapat, selebriti perlu bijak menangani krisis dan mendapatkan pandangan orang lain sebelum memberikan respons

3:03 PM MYT

 

BANGI – Seiring dengan nama gah dimiliki dua selebriti popular tanah air ini, Neelofa dan Awal Ashaari juga tidak terlepas dari dihambat kontroversi.

Namun kedua-duanya sering kelihatan tenang menangani krisis melanda diri masing-masing.

Jarang sekali melihat mereka melatah apabila nama terpalit kontroversi.

Menurut Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 35, artis harus mendapatkan pandangan orang lain sebelum memberikan maklum balas terhadap sesuatu isu atau kontroversi.

Neelofa (paling kiri), Awal Ashaari (dua kiri) ditemani Raqim Ahmad (dua kanan) selaku Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro ketika menjadi panel Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – Gambar PR, 17 Januari, 2024

“Sebagai selebriti, kita tak lari daripada kontroversi, namun kita harus tahu jalan terbaik untuk mengendalikan krisis. Sebelum menjawab atau memberi respons, saya selalunya akan mendapatkan pandangan orang lain.

“Saya kena bertindak mencari jalan terbaik dan tidak boleh memberi maklum balas secepat mungkin. Jika saya pantas menjawab, mungkin ia akan dipengaruhi emosi sendiri, jadi pandangan pihak lain sangat diperlukan,” katanya.

Neelofa berkata demikian sewaktu ditemui pada Program Bual Bicara: Menangani Krisis, Membina Reputasi anjuran Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, bagi Awal pula, dia turut senada dengan Neelofa dan mengakui dalam zaman media sosial hari ini, selebriti perlu lebih berhati-hati.

“Sebagai selebriti, kita menjadi perhatian ramai. Artis perlu memberikan contoh baik dan artis juga mempunyai imej yang harus dijaga. Jangan terburu-buru untuk menyelesaikan krisis kerana jika silap langkah, pastinya ia akan memburukkan reputasi.

“Bertanya kepada orang sekeliling atau mereka yang lebih pakar. Seperti saya sendiri, saya akan sering merujuk kepada isteri, Scha Alyahya. Selain itu, saya juga merujuk kepada rakan wartawan yang lebih arif,” katanya.

Menjadi ahli panel untuk program terbabit, Neelofa dan Awal turut ditemani Raqim Ahmad selaku Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro.

Memberikan komen dari sudut organisasi, Raqim dan pasukan mempunyai cara tersendiri sekiranya berhadapan sesuatu krisis.

“Ada krisis yang memang dalam jangkaan, ada juga isu yang timbul di luar jangkaan. Sekiranya situasi yang memang kita jangka itu berlaku, sebagai organisasi, masalah perlu diselesaikan dengan pantas dan mengikut prosedur ditetapkan.

“Namun, jika situasi luar kawalan terjadi, masa yang tepat perlu diambil menjawab atau menyelesaikan sesuatu krisis. Maklum balas diberikan tidak boleh terlalu cepat dan tidak boleh juga terlalu lambat.

“Jika terlalu awal, mungkin ia dipengaruhi emosi dan mungkin semua aspek belum diteliti. Jika terlalu lambat pula, mungkin polemik lain akan timbul di media sosial. Jadi, pentingnya komunikasi berkesan untuk menyelesaikan krisis agar reputasi selalu terjaga,” kata Raqim.

Pada program itu juga, Neelofa turut berkongsi antara krisis yang pernah melandanya ialah kontroversi pelancaran tudung di kelab malam.

“Saya masih ingat dengan jelas sehingga ke hari ini, ketika itu ramai yang nak boikot, buat video muatnaik di Instagram dan sebagainya.

“Tetapi ketika itu saya fikir ya mungkin saya buat salah, ada benda yang tak patut saya buat. Tetapi Allah tahu apa niat sebenar saya. Saya bukan buat benda tu untuk ‘viral’.

“Apa yang saya lakukan selepas itu adalah kita kembali bangkit dan terus bergerak ke depan,” kongsinya.

Awal mengakui dalam zaman media sosial hari ini, selebriti perlu lebih berhati-hati. – Gambar PR, 17 Januari, 2024

Awal pula berkongsi pengalaman dia pernah ditahan pihak berkuasa sewaktu berhibur di kelab malam.

“Kalau dah muka kita yang terpampang, tak perlulah nafikan. Satu Malaysia tahu kau ada kat situ. Mengaku sahaja dan minta maaf.

“Sebenarnya rakyat Malaysia ini, dia tak nak lihat kita menjadi terlalu ‘defensive’. Mereka mahu lihat kita betul-betul menyesali perbuatan kita, tidak mengulanginya dan minta maaf,” katanya.

Selain Neelofa, Awal dan Raqim, majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Kaka Azraff selaku penyanyi jemputan menyampaikan lagu Bawa Aku Pergi. – 17 Januari 2024

Topics

 

Popular

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Cops to call up 13 varsity students who joined Jan 25 anti-graft rally

Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia rep says this includes three from Sabah who would have to fly to KL; summoned rallygoers may meet police together on Sunday to receive notice

Related