KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz kembali ‘menyerang’ pihak yang berterusan mendesak siasatan dijalankan selepas namanya muncul dalam Kertas Pandora (Pandora Papers) pada 2021.
Beliau juga mempersoalkan sama ada pihak tertentu mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat semua pengarah syarikat kewangan yang berdaftar di Labuan atau membayangkan firma tersebut menjalankan perniagaan haram.
“Pusat Kewangan dan Perniagaan Antarabangsa Labuan (LIBFC) ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia (pada 1990) untuk menggalakkan syarikat tempatan menubuhkan anak syarikat mereka di Labuan.
“Adakah mereka (pengkritik) membayangkan bahawa kerajaan menggalakkan aktiviti haram?” soalnya.
Tengku Zafrul menambah, terdapat lebih 940 syarikat berdaftar dengan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, yang merupakan badan kawal selia untuk LIBFC, menyumbang lebih RM1 bilion dalam cukai pada 2022.
“LIBFC juga merupakan pekerja kolar putih terbesar di Labuan, dengan lebih 9,000 pekerja dan 20 peratus daripada jumlah pekerjaan di pulau tersebut,” katanya.
Nama menteri itu dikaitkan susulan pendedahan dalam Kertas Pandora, berkaitan peranannya sebagai Pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Ltd.
Pada 2021, Tengku Zafrul berkata, beliau dilantik sebagai pengarah untuk bank yang berpangkalan di Labuan itu atas kapasitinya sebagai pengarah kumpulan dan ahli jawatankuasa pengurusan eksekutif di Kenanga Group dari Januari 2009 hingga Jun 2010.
Kemudian, beliau melepaskan jawatannya di Kenanga setelah dilantik sebagai CEO Maybank Investment Bank Bhd.
Kertas Pandora melibatkan 12 juta dokumen dan rekod lain daripada penyedia perkhidmatan luar pesisir di seluruh dunia. – 17 Januari, 2024