KUALA LUMPUR – Tidak hanya menganggap Datuk Yusof Haslam sekadar seorang produser dan pengarah, pelakon yang bermula sebagai penyanyi, Norman Hakim turut mengibaratkan karyawan seni tersohor itu seperti bapanya sendiri.
Bahkan, dia yang sudah lama tidak bertemu dengan Yusof mengakui amat merindui sosok penting itu yang banyak memberikan jasa dan sumbangan terhadap perkembangan industri drama dan filem Melayu di negara ini.
“Lillahita’ala saya sangat merindui sosok tubuh ini. Insan yang sangat berjasa terutama dalam perjalanan saya sebagai anak seni.
“Banyak luahan kasih yang tersirat bila dah lama sangat tak berjumpa. Pada masa sama, umpama menumpang lepas rindu antara seorang anak pada seorang ayah (Al-Fatihah) dan mungkin sebaliknya dari seorang ayah kepada seorang anak.
“Segalanya terzahir melalui sentuhan yang tersurat,” katanya menerusi perkongsian di Instagram miliknya.
Jelas Norman lagi, dia juga sangat gembira apabila dipertemukan dengan Yusof ketika menjayakan rancangan Healing Bersama Zizan untuk Astro.
“Alhamdulillah platform rakaman Healing Bersama Zizan ini jadi medan untuk kami menjalin semula ukhuwah dan silaturrahim.
“Empat jam rakaman diselang-seli dengan sesi borak-borak ‘lepas rindu’. Topik yang agak ‘peribadi dan sulit’, kami lari jauh sikit takut orang dengar.
“Mohon doakan insan yang banyak berjasa dalam hidup saya ini dikurniakan rahmat, lindungan dan kasih sayang-Nya dalam usianya yang bakal memasuki 70 tahun, April ini. Insya-Allah, Aamiin Ya Rabb,” katanya.
Norman sememangnya antara pelakon yang kerap berlakon dalam drama dan filem terbitan syarikat produksi Skop Productions.
Selain membintangi drama bersiri Gerak Khas, Maria Mariana The Series serta Pasrah Series, Norman turut berlakon dalam filem Pasrah, Gerak Khas The Movie serta GK3 The Movie. – 17 Januari, 2024