KUALA LUMPUR – Pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar Jailani kecewa apabila dia dan penerbit filem itu, Tan Meng Kheng bakal menghadapi pertuduhan di Mahkamah Majistret esok.
Khairi dan Meng Kheng berdepan tuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan kerana didakwa mempunyai unsur penghinaan terhadap agama.
Khairi ketika bercakap dengan Scoop mendakwa, ini adalah kali pertama seorang pembikin filem didakwa atas tuduhan jenayah di mahkamah hanya kerana sebuah filem.
“Saya kecewa, jika ini adalah cara untuk membungkam pencerita dan bimbang ia akan membuatkan lebih ramai pencerita berhenti menceritakan kisah mereka kerana takut didakwa.
“Untuk menceritakan kisah yang jujur, ikhlas dan berdasarkan kisah peribadi seperti Mentega Terbang, dan didakwa secara jenayah, ia adalah sangat menghampakan, mengganggu dan mengecewakan,” katanya.
Mentega Terbang yang menyentuh perbezaan dan persamaan agama di Malaysia mendapat kritikan ramai dan penggiat seni tempatan berikutan tayangannya di Viu, awal tahun lalu.

Filem ini yang mengisahkan mengenai konflik seorang remaja , Aisyah, 15, yang mendalami ideologi agama lain terutama persoalan hidup selepas mati, didakwa telah mencabar dan memesongkan akidah umat Islam.
Misalnya dalam babak di mana bapa Aisyah memberikan kebenaran untuk dia memilih haluan hidupnya sendiri dengan memeluk agama lain.
Bahkan, terdapat juga beberapa babak yang dianggap cukup menyentuh sensitiviti umat Islam apabila Aisyah menyatakan keinginannya untuk makan daging babi.
Susulan itu, pelbagai pihak mendesak agar tayangannya diharamkan kerana ia dianggap berbahaya, terutama kepada anak-anak muda yang masih belum memahami Islam.
Susulan itu, pada September tahun lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengharamkan tayangan filem berkenaan. Namun ia telah dicabar oleh Khairi dan Meng Kheng di mahkamah.
Mentega Terbang diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment. Ia ditulis oleh Khairi Anwar bersama Arjun Thanaraju, Visshnu Varman dan Ti Teng-Hui. – 16 Januari, 2024