PUTRAJAYA – Pelan Rekalibrasi pendatang asing tanpa izin bagi penghantaran pulang warga asing yang tinggal lebih masa di negara ini akan diadakan semula tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, namun perkara itu bergantung kepada kelulusan Jemaah Menteri.
“Cadangan kita mengadakan semula rekalibrasi bagi penghantaran pulang rakyat asing yang tinggal lebih masa mulai tahun ini
“Kita cadang satu tarikh kepada Jemaah Menteri dan juga kompaun yang akan dikenakan.
“Ini juga langkah maklum balas daripada kedutaan negara sumber yang mana mereka syorkan ruang bagi penghantaran pulang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri Dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-10 di sini hari ini.
Hadir sama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Pelan rekalibrasi pendatang tanpa izin itu ditutup tahun lalu, namun kerajaan masih meneruskan Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK 2.0).
Dalam pada itu beliau berkata, ketika ini negara mempunyai seramai dua juta pekerja asing dengan tiga sektor sudah lengkap diisi iaitu perkhidmatan, pembinaan dan perkilangan.
“Dari segi rekod menunjukkan angka permohonan dan kemasukan cukup, masih ada defisit keperluan tinggi bagi dua lagi sektor iaitu perladangan dan pertanian,” katanya. – 16 Januari, 2024