KUALA LUMPUR – Dua bekas anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM18,000.
Sumber memberitahu, rasuah itu sebagai balasan bagi menutup satu siasatan kes pengubahan wang haram terhadap seorang lelaki.
“Suspek lelaki pertama berusia dalam lingkungan 30-an ditahan kira-kira jam 5.10 petang di sekitar Kuala Lumpur.
“Manakala, suspek lelaki kedua yang juga berusia sekitar 30-an ditahan ketika dia hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur pada jam 8.57 malam tadi,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pegawai dari Unit Risikan Bukit Aman dan mereka bertindak ke pejabat mangsa di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
“Suspek memberitahu kononnya terdapat satu kes SPRM yang dibuka terhadap mangsa, membabitkan kesalahan di bawah akta pengubahan wang haram.
“Sehari selepas itu, suspek datang semula ke pejabat mangsa dan meminta wang rasuah kira-kira RM18,000 sebagai balasan untuk menutup siasatan berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, sumber memaklumkan, mangsa yang ketakutan menyerahkan wang tunai RM10,000 kepada suspek.
Ujarnya, mangsa memaklumkan akan menyerahkan baki RM8,000 semalam, sebelum dia membuat laporan kepada SPRM pada Ahad lalu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk tujuan permohonan reman,” katanya. – 16 Januari, 2024