KUALA LUMPUR — ‘Sek kito jange pecoh’ atau maksudnya geng kita jangan pecah adalah antara bait lagu dalam My Home Kelate yang dinyanyikan oleh penyanyi rap dari Kelantan, Dennis Koit Jun Leong.
Dennis, merupakan penyanyi yang menyanyikan lagu berkonsepkan rap tiga bahasa iaitu bahasa Kelantan, Cina dan Inggeris.
Bagi mereka yang bukan dari Kelantan, agak sukar memahami perkataan bahasa Kelantan yang dinyanyikannya yang agak pekat, namun mujurlah terdapat sari kata lagu itu dalam bahasa kebangsaan.
“Sebagai warga Kelantan, saya sering ditanya dengan banyak soalan yang amat menghiburkan saya, contohnya, Awak kat kelantan tinggal atas pokok kah?, Korang ada lapangan terbang kah?, Korang cuma ada lembu saja kah? dan banyak lagi.
“Mari, biarlah saya menceritakan pada sekmu gapo dio tu kelantan dengan lagu ini. Terima kasih,’’ demikian diskripsi yang ditulis di dalam YouTubenya rasminya DENNIS.
Lagu ini turut menunjukkan mengenai suasana di Kelantan di mana Dennis bersama rakan-rakannya makan nasi ulam dengan menggunakan tangan, memesan air teh o beng (teh ais).
Video lagu nyanyiannya itu telah dimuat naik di media sosial pada 2021 namun ia kembali popular, mungkin disebabkan usahanya untuk memartabatkan keaslian budaya Kelantan.
Rata-rata netizen memuji usaha yang dijalankan oleh Dennis terutama anak Kelantan. Dennis turut menjawab soalan-soalan peminatnya dalam bahasa Kelatan. – 14 Januari, 2024