Ibu Faizal, Anas Tahir meninggal dunia pagi tadi

Berita pemergian Allahyarham Muzlipah disampaikan ahli keluarga melalui hantaran di Instagram

11:46 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Setelah seminggu lebih ditahan di hospital selepas disahkan menghidap penyakit kanser pankreas, ibu kepada Faizal Tahir dan penyampai radio Zayan, Anas Tahir, Muzlipah Aishah Pa’wan Teh menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada jam 8.55 pagi tadi.

Berita pemergian Allahyarham Muzlipah disampaikan sendiri Anas melalui sebuah hantaran berbentuk luahan hati yang cukup menyentuh perasaan yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya, sebentar tadi.

“Mama…Terima kasih doakan anak-anak mama selama 48 tahun. Terima kasih mama usung anak-anak mama dalam perut mama sampai bengkak-bengkak kaki mama yang comel itu untuk tujuh orang anak mama termasuk seorang yang mama pernah gugur dulu.

“Mama… Sekarang anak-anak mama akan doakan mama pula dengan berbaki usia hidup kami yang menjadi rahsia Allah ini, okey mama.

“Mama…Sorry banyak buat tergelak dengan Anas walaupun dalam mama hanya terbaring hari itu. Anas tak buat lawak. Tapi mama tergelak juga sampai Anas cakap mama janganlah gelak okey. Mama tak larat tu. Sorry mama.

“Tak dapat dah usap-usap cium mama peluk mama kuat-kuat. Urut-urut kaki mama pun tak boleh dah. Dulu tiap-tiap hari video call mama. Kacau mama tengah masak. Pun tak dapat dah.

“Tarawih Anas akan rindu bunyi mama gerak-gerakkan telekung belakang Anas. Dulu kalau tarawih, mama mesti tolak Anas jadi imam. Tak dengar dah ayat mama anas jadi imam, mata mama segar. Akan merindui momen itu mama.

“Terima kasih atas segalanya. Terima kasih Allah. Akhir kata, hidup ini bukan tentang memenuhi kehendak kita, tetapi tentang memenuhi kehendak Allah SWT. Maka Allah akan memenuhi kehendak kita selama-lamanya di negeri abadi,” luahnya dengan penuh makna.

Anas sewaktu dihubungi Scoop beberapa hari lalu memberitahu bahawa ibunya telah disahkan menghidap penyakit pankreas, namun, doktor masih belum menemukan puncanya kerana terdapat beberapa komplikasi lain.

“Untuk memastikan puncanya, doktor perlu membuat pembedahan. Namun, disebabkan usia ibu yang sudah melewati 70-an dan keadaan kesihatannya yang tidak menentu, ia tidak dapat dilakukan sehingga ibu benar-benar berada dalam keadaan stabil.

“Kami adik-beradik memang sedih melihat keadaan ibu. Sebab, waktu kami membuat percutian keluarga tidak lama dulu, ibu nampak okey. Tiada tanda-tanda sakit pun.

“Tapi, tiba-tiba ibu bagitau dia tak sihat dan kami cuba bawa pergi ke sebuah hospital mengikut janji temu yang telah pun dibuat. Bila ibu kata dia dah tak tahan sakit, kami terus bawa dia ke KPJ Ampang Puteri.

“Alhamdulillah, ibu ada tujuh anak dan kami semua bergilir-gilir menjaga ibu. Melihat keadaan ibu yang menahan sakit, kami sendiri tak tahan. Kami sendiri dah puas nangis,” katanya.

Faizal Tahir merupakan anak kedua dan Anas pula merupakan anak keempat daripada tujuh beradik kepada pasangan Allahyarham Muzlipah Aishah Pa’wan Teh dan Mohammad Tahir Abdul Rahman. – 14 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related