KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang kecewa dan membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini.
Beliau berkata, sebagai seorang negarawan yang bersama-sama membina Malaysia, Dr Mahathir sepatutnya menjadi ‘ejen’ perpaduan negara dalam menyebarkan mesej kebersamaan.
Katanya, negara ini dibina atas dasar kebersamaan melalui kontrak sosial yang membawa kemerdekaan.
“Dalam menyatupadukan rakyat yang pelbagai kaum, agama, etnik dan budaya di negara ini, pemimpin terdahulu (forefathers) mendukung wadah integrasi nasional berbanding asimilasi.
“Kini sudah pun lebih 60 tahun merdeka, rakyat masih mengekalkan nilai ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ sebagai resam hidup.
“Saya menyeru kepada semua lapisan masyarakat, termasuk pemimpin politik untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum, sekali gus boleh menimbulkan kebencian,” katanya menerusi Facebook.
Aaron berkata, pemimpin politik seharusnya menjadi teladan (role model) dalam memupuk nilai perpaduan, muhibah dan semangat kebersamaan.
“Kita harus mempelajari, memahami dan mengambil teladan daripada peristiwa sejarah yang pernah dilalui Malaysia, agar perpaduan serta keharmonian antara kaum dirasai sekarang dapat terus dinikmati.
“Ingatlah, kepelbagaian itu adalah kelebihan dan kekuatan,” katanya.
Terdahulu, Dr Mahathir menerusi temu bual bersama sebuah media dilaporkan mendakwa, masyarakat India di Malaysia tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih terikat dengan negara asal mereka.
Dakwanya, seseorang itu harus dikenali sebagai ‘orang Melayu’ untuk berhak menganggap Malaysia sebagai negara sendiri.
Malah, beliau berkata, orang India di Malaysia tidak bercakap bahasa Melayu sebagai bahasa asal mereka, tetapi berkomunikasi dalam bahasa Tamil.
Bukan setakat itu, Dr Mahathir didakwa berkata, masalahnya adalah apabila masyarakat India dan Cina menganggap Malaysia sebagai negara sendiri, tetapi tetap mengamalkan budaya serta adat sendiri. – 13 Januari, 2024