KUALA LUMPUR – Chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan mengakui terkejut dengan tuduhan yang mengatakan dia kononnya menipu gaji pekerjanya seperti mana yang sedang tular di TikTok.
Menurut Chef Wan, tuduhan tersebut adalah fitnah kerana dia sama sekali tidak bertanggungjawab dalam menguruskan hal-hal yang melibatkan gaji pekerjanya di kafe dan restoran Chef Wan.
Sebaliknya, yang menguruskan kesemua gaji pekerjanya termasuk operasi dan pengurusan harian kumpulan restoran dan kafe miliknya itu adalah rakan kongsinya, Andre bersama pasukan kakitangan pengurusan.
“Menerima berita viral itu mengejutkan saya kerana difitnah kononnya saya menipu mereka! Tanggungjawab saya untuk restoran saya adalah mengendalikan resipi saya dan kualiti makanan saya sahaja.
“Saya rasa dari awal kerjasama saya dengan kumpulan restoran ini, memang dari awal saya dah terangkan secara jujur dan ikhlas.
“Saya tidak membuat keputusan mengenai gaji kakitangan mahu pun mengambil dan memecat kakitangan,” katanya dalam perkongsian terbaharu di Instagram.
Menurut Chef Wan, semalam dia telah bertanya rakan kongsi dan pengurus besar kumpulan restoran dan kafe Chef Wan mengenai tuduhan tersebut sama ada benar kerana ia melibatkan namanya yang tidak berdosa.
“Saya diberitahu, tidak satu pun daripada apa yang dinyatakan itu benar. Rakan kongsi saya berkata, apabila ada kakitangan diberhentikan atau dipotong gaji mereka (disebabkan persembahan kerja/kekurangan skil yang tidak mencapai standard/tak berdisiplin atau didapati menipu syarikat dan sebagainya), kami lakukan siasatan.
“Segelintir kakitangan ini tidak gembira dan berhenti. Ada pula yang asyik nak bergaduh dan ia juga turut menjejaskan kualiti makanan dan perkhidmatan kami.
“Takkan mereka sampai tak boleh ditegur? Takkan sebagai majikan kita nak tunduk kepada perbuatan-perbuatan fitnah mereka macam ni?” katanya.
Disebabkan itu, kata Chef Wan, dia cuba memahami kedua-dua belah pihak kerana ingin menggali sampai ke bawah agar namanya tidak tercalar.
“Tengoklah air muka saya ini baik-baik. Ada ke saya ini jenis manusia yang suka menipu orang atau pun manusia yang suka bantu orang dan buat kebajikan?
“Janganlah fitnah saya yang bukan-bukan. Disebabkan tidak gembira dengan polisi syarikat, saya pun diborong sekali sebagai menipu mereka,” katanya. – 13 Januari, 2023