KUALA LUMPUR – Pertandingan pencarian bakat vokal, Bintang RTM 2024 yang akan bermula Sabtu ini bukan sekadar pentas pertandingan untuk mencari bintang, tetapi adalah platform untuk melahirkan penghibur profesional yang mempunyai kepelbagaian dan keaslian vokal tersendiri.
Dalam meneruskan legasi penganjurannya yang kini mencecah usia 50 tahun, sasaran program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) adalah untuk benar-benar meninggalkan kesan yang berkekalan pada dunia muzik dan memberi inspirasi kepada penyanyi generasi akan datang.
Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah Penyiaran RTM Datuk Suhaimi Sulaiman berkata fokus Bintang RTM 2024 juga menjangkau lebih daripada sekadar melahirkan seorang penyanyi, tetapi turut menerapkan ilmu-ilmu penting untuk mempersiapkan peserta menjadi penghibur profesional.
“Kehidupan seseorang penghibur itu akan berkembang bermula dengan pertunjukan kecil-kecilan sehingga boleh mengadakan konsert mereka sendiri dan ini memerlukan mereka mempunyai kemahiran insaniahyang sesuai untuk membolehkan mereka membawa diri dalam industri berkenaan.
“Ilmu ini sangat penting kerana kita dah tengok persekitaran kita dah berubah jadi seorang penyanyi itu juga kena jadi seorang komunikator yang hebat, dia kena pandai guna media sosial, interaksi dengan wartawan jadi oleh itu mereka kena jadi seorang penyanyi yang bagus dan pandai dalam bidang komunikasi…itu latihan yang akan kami bagi,” katanya.
Menurut Suhaimi peserta bukan sahaja akan mempunyai guru-guru yang mengajar vokal dan teknik nyanyian, tetapi turut diberikan pelbagai latihan seperti untuk berhadapan dengan wartawan, teknik-teknik penyampaian, penampilan dan sebagainya bagi memastikan mereka mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur dan mampu bertahan lama dalam industri seni.
Dalam pada itu, Suhaimi berkata penganjuran Bintang RTM 2024 juga mengangkat format berbeza yang kesemua peserta kali ini dibenarkan untuk memilih sendiri genre dan lagu yang ingin dibawakan berdasar kepada tema diberi sepanjang pertandingan.
“Ini sangat penting bagi mereka mencipta identiti tersendiri berdasarkan kekuatan bakat dan skil masing-masing. Mereka perlu tahu bagaimana untuk memenuhi keperluan bidangnyanyian itu sendiri…kita akan bagi tema-tema tertentu tetapi itu bukan yang penting, yang penting adalah dia suka membawa lagu apa, contohnya dia suka menyampaikan lagu irama Malaysia atau rock.
“Jadi jika dia suka lagu rock dia harus cipta ruang kemudian menguasai ruang itu dan jadi hebat dalam genre itu…Jika ada acara yang memerlukan penyanyi tertentu sebagai contoh yang memerlukan penyanyi rock dan wanita maka kita ada Ella, kalau irama Malaysia Haziq Rosebi jadi setiap orang itu ada identiti mereka sendiri,” katanya.
Suhaimi berkata mengambil kira perkembangan zaman yang membuatkan sesiapa sahaja boleh menjadi penghibur, Bintang RTM perlu melahirkan artis yang berbeza daripada yang lain melalui fokus terhadap kemenjadian memandangkan perkara itu yang didambakan oleh pasaran.
“Kita kena membantu, peserta-peserta kita ramai yang muda dan yang penting di sini ialah ramai penyanyi kita mereka tidak dilatih sebagai ahli perniagaan jadi antara yang kami tekankan ialah untuk mereka berfikir sebagai seorang usahawan.
“Menyanyi ini akan mendatangkan pendapatan kepada mereka dan mereka kena berfikir sebagai usahawan walaupun mereka ada pengurus, jadi mereka kena tahu jenama, tempoh karier dan komunikasi. Jadi dia membawa diri dia sebagai usahawan, itu yang kami tekankan di Bintang RTM,” katanya.
Bintang RTM 2024 yang menampilkan 14 bakat muda terbaik dari seluruh negara akan menerima latihan daripada Suhaimi sendiri dari segi komunikasi manakala teknik nyanyian akan dilatih oleh Datuk Syafinaz Selamat dan Juliza Adzlizan.
Seramai 14 peserta akan berentap merebut gelaran juara iaitu Akma Natasha, 25 tahun; Nuhammad Zulfeka (Feka), 23; Mohd Azumi Shazani (Azumi), 26; Norzizi Safira (Zizi), 22; Sharifah Nurilmuhayati (Nuril), 26, dan Muhammad Hadi Hafsham (Hady Huv), 21.
Saingan turut diberikan Muhammad Harris Mukhriz (Harris), 20; Muhammad Shahrezza (Shah Rezza), 22; Roziena Ixzy (Roxy Ixzy), 26; Mohd Enrien Syah (Jon), 24; Dayang Irsyadhania (Dhania), 16; Mohammad Said Suhazrie (Joy), 21; Eylia Eyre Guntabid (Eylia Guntabid), 23; dan Nur Shahirah (Noy), 23.
Konsert pertama akan menemui penonton esok (13 Januari), diikuti konsert seterusnya setiap Sabtu 9 malam dan disiarkan secara langsung melalui TV2 selain boleh diikuti secara dalam talian melalui RTMKlik dan radio rasmi Bintang RTM 2024 Nasionalfm.
Kesemua peserta bakal berentap merebut gelaran juara pada konsert akhir dijangka 24 Februari depan. – 12 Januari, 2024