Polis tumpaskan sindiket cuba seludup heroin ke Hong Kong dalam patung katak

Rampasan pelbagai bahan kimia serta dadah dianggarkan bernilai RM7.89 juta

3:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa hasil perkongsian maklumat dengan Biro Narkotik Hong Kong dan merampas pelbagai bahan kimia serta dadah dianggarkan bernilai RM7.89 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam serbuan di sebuah kondominium di ibu negara Jumaat lepas, polis menahan seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki Hong Kong dan seorang wanita Mongolia berumur antara 25 hingga 48 tahun.

Dalam operasi pada hari yang sama, beliau berkata, Biro Narkotik Hong Kong telah menahan seorang lelaki dan wanita warga tempatan berumur 26 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di pulau itu.

“Hasil serbuan yang dilancarkan, polis merampas serbuk bahan kimia seberat 74.03 kilogram (kg) dan 7.41 kg heroin base di Malaysia, manakala sebanyak 3.5kg heroin base pula dirampas di Hong Kong dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM7.89 juta.

“Turut dirampas ialah peralatan untuk pembungkusan dadah selain acuan membuat patung dan patung berbentuk katak. Keseluruhan dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 399,169 orang,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, modus operandi yang digunakan sindiket terbabit ialah menjadikan premis kediaman yang diserbu di ibu negara itu sebagai pusat pembungkusan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran Hong Kong.

Menurut Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dalam serbuan di kondominium di ibu negara Jumaat lepas, polis menahan seorang lelaki warga tempatan, seorang lelaki Hong Kong dan seorang wanita Mongolia berumur antara 25 hingga 48 tahun. – Gambar Polis KL, 10 Januari, 2024

“Suspek yang ditahan itu dipercayai menyembunyikan serbuk bahan kimia dan heroin base terbabit di dalam patung yang dibuat sendiri sebelum membungkusnya dan menggunakan khidmat kurier untuk dihantar ke Hong Kong.

“Apabila tiba di Hong Kong, serbuk bahan kimia dan heroin base terbabit dipercayai akan diproses semula untuk dijadikan dadah jenis heroin bagi pasaran di situ,” katanya.

Ujian saringan awal polis mendapati suspek wanita warga Mongolia terbabit positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala semakan rekod jenayah terhadap lelaki warga tempatan mendapati dia mempunyai rekod lampau kes jenayah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan telah direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Januari bagi membantu siasatan.

“Polis akan meneruskan siasatan untuk mengesan saki-baki ahli sindiket untuk dibawa ke muka pengadilan. Masyarakat juga diharap menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya. – 10 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Related