KUALA LUMPUR – Lima bulan selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), jurulatih legenda, Datuk Misbun Sidek mengesahkan menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Thailand (BAT), bulan lalu.
Biarpun telah melatih tiga pemain muda dari negara tersebut di kelab Nusa Mahsuri, namun jurulatih berusia 63 tahun itu belum membuat sebarang keputusan mengenai tawaran BAT kerana perlu memperhalusi beberapa perkara.
Kata Misbun, ketika ini beliau bersama tiga pemain remaja Thailand itu dalam usaha mengenali satu sama lain untuk melihat sama ada kedua-kedua pihak punya keserasian atau sebaliknya dalam corak latihan yang diterapkan.
“Buat masa ini hanya percubaan, nak tengok sama ada mereka (pemain remaja Thailand) yang dihantar (ke Nusa Mahsuri) boleh capai kejayaan atau tidak pada masa hadapan.
“Saya tengok mereka (BAT) memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk bantu tingkatkan prestasi pemain-pemain ini. Kalau boleh, mungkin ia akan berpanjangan jadi sebab itulah mereka hantar pemain ini.
“Berkenaan tawaran, saya akan beritahu kemudian sebab saya tengah menilai dari segi budaya. Mereka dari Thailand dan budaya mereka tidak sama dengan kita. Bila nak latih orang luar, kenalah tahu budaya mereka, kalau tidak susah juga.
“Melainkan mereka sudah pandai tapi pemain-pemain ini datang dari program pembangunan dan dipersiapkan untuk Kejohanan Remaja Dunia dan Sukan Olimpik Remaja (2026),” kata Misbun kepada pemberita pada majlis perasmian pameran Anak-Anak Sidek di Muzium Sultan Alam Shah, hari ini.
Tiga pemain remaja Thailand tersebut, Punnatat Prempunpong, Nuttanon Maku dan Tonkid Saeheng ketika ini berguru bersama Misbun di Nusa Mahsuri dengan misi utama menghadapi Sukan Olimpik Remaja 2026 di Dakar, Senegal. – 9 Januari, 2024