Berjaya ikat pasukan ranking 91 dunia lonjak keyakinan Harimau Malaya

Seri 2-2 dengan Syria persiapan terbaik menjelang pertemuan dengan Jordan dalam aksi pembukaan Piala Asia, 16 Januari ini

11:41 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seminggu menjelang perlawanan pembukaan Piala Asia 2023 di Doha, Qatar, Kim Pan-gon lega melihat tahap keyakinan Harimau Malaya selepas kejayaan mereka mengikat pasukan ranking 91 dunia, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan awal pagi tadi.

Selepas mendahului 1-0 hasil jaringan Arif Aiman Hanapi pada minit ke-39, Malaysia ketinggalan 1-2 di Stadium Grand Hamad, Doha apabila dibolosi oleh Pablo Sabbag (m70) dan Ibrahim Hesar (m74).

Pemain-pemain negara bagaimanapun menunjukkan ketenangan pada 20 minit terakhir untuk bangkit menyamakan kedudukan menerusi Paulo Josue pada minit ke-78.

“Permulaan yang baik, dan kami boleh bersaing menentang pasukan ranking ke-91 dunia. Saya gembira dengan persembahan pemain khususnya pada separuh masa pertama sebelum kami membuat banyak pertukaran di babak kedua.

“Saya mahu memberi sebanyak mungkin minit permainan kepada semua pemain, jadi kami melakukan banyak pertukaran di separuh masa.

“Barisan serangan yang berbeza, kita tukar semua, ia tidak mudah. Saya gembira kami bangkit daripada ketinggalan 1-2 untuk ikat kedudukan 2-2,” kata Pan Gon dalam video yang dikongsi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue meledak gol penyamaan pada minit ke-78 di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar awal pagi tadi. – Gambar FAM, 9 Januari, 2024

Menurut jurulatih dari Korea Selatan itu, objektif utama perlawanan iaitu sebagai pemanas badan menjelang aksi pembukaan Kumpulan E menentang Jordan, 16 Januari ini telah tercapai.

“Saya rasa pemain akan lebih berkeyakinan sebelum menentang Jordan. Dengan senarai pemain ini, saya optimis kita boleh memberi cabaran,” kata Pan Gon.

Kata Pan Gon, Harimau Malaya yang menghuni ranking ke-130 dunia mempunyai cukup persediaan untuk menghadapi perlawanan pembukaan, dan pertemuan menentang Syria memberi bayangan kepada kesebelasan utama yang akan digunakan nanti.

Kejayaan mengikat Syria 2-2 memberi keyakinan kepada Malaysia menjelang aksi pembukaan Piala Asia 2023 menentang Jordan, 16 Januari depan. – Gambar FAM, 9 Januari, 2024

“Selepas perlawanan ini kami mempunyai tempoh pemulihan dan persediaan yang cukup untuk aksi pertama. Semua pemain diberi peluang beraksi dan itu membuatkan saya sangat gembira.

“Sesiapa sahaja boleh berada dalam kesebelasan utama, ia antara kelebihan buat barisan kejurulatihan untuk memilih pemain,” katanya.

Selepas menentang pasukan nombor 87 dunia, Jordan dalam perlawanan pertama, Malaysia akan bertemu Bahrain (86 dunia) pada 20 Januari, diikuti juara dua kali, Korea Selatan (23 dunia) pada 25 Januari. – 9 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related