SEPANG – Hanya seorang bekas Perdana Menteri akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan berhubung penggunaan wang sebanyak RM700 juta yang dibelanjakan bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan terdahulu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bekas pemimpin tertinggi itu akan dipanggil dalam masa terdekat.
Ketika ditanya sama ada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil, Azam hanya menjawab ‘hanya seorang bekas Perdana Menteri dan pegawai kanan kepada pemimpin terlibat’, untuk membantu siasatan.
“Tidak kurang daripada empat individu akan dipanggil.
“Kami sedang siasat bagaimana wang itu (RM700 juta) dibelanjakan dan syarikat mana yang mendapat manfat daripada dana itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Tatakelola Baik Nasional 2024 di sini hari ini.
Beliau memberitahu, beberapa syarikat berkaitan telah dihubungi untuk membantu siasatan.
Kelmarin, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim memberitahu Scoop bahawa agensi itu sedang dan perlu menyemak beberapa dokumen berkaitan penggunaan wang sebanyak RM700 juta itu.
Baru-baru ini SPRM menegaskan sudah memulakan siasatan berhubung penggunaan wang RM700 juta untuk tujuan promosi dan publisiti media, bagi menghebahkan pencapaian kerajaan antara 2020 dan 2022, ketika pentadbiran dua Perdana Menteri.
Menurut sumber, SPRM telah ke Kementerian Kewangan (MoF) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk proses siasatan serta mengumpul maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan pada 2 Januari lalu.
Katanya, siasatan itu dibuat berdasarkan maklumat awal, sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November lalu.
Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan, menerusi semua platform media massa, termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020, hingga kini.
Susulan kenyataan Anwar itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut membuat catatan di X baru-baru ini, bahawa rakyat berhak mengetahui bagaimana RM700 juta dibelanjakan.
“SPRM mengambil tindakan proaktif menjalankan siasatan sebagaimana pendedahan mengenai penggunaan wang RM700 juta, baru-baru ini.
“Siasatan awal menjurus kepada bagaimana wang itu, dibelanjakan dan adakah proses mengikut tatacara yang betul,” katanya.
Hishamuddin mengesahkan siasatan itu, tetapi enggan mendedahkan butirannya.
Terdahulu, Scoop melaporkan bahawa siasatan penyelewengan dan perbelanjaan berlebihan ditumpukan ketika tempoh Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri.
Ini kerana ketiadaan kertas kerja dan dokumentasi yang terlibat dalam pembayaran kira-kira RM500 juta untuk kontrak media dan publisiti.
Penelitian difokuskan sama ada keadaan darurat yang berkuat kuasa pada 12 Januari 2021 sudah disalahgunakan untuk memintas proses perolehan dan prosedur tadbir urus.
November lalu, Anwar berkata, kerajaan mengehadkan peruntukan perbelanjaan bagi iklan promosi dan pembelian media untuk polisinya sebanyak RM100 juta bermula 2024.
“Bagi tahun 2024, saya sudah mengarahkan Kementerian Kewangan untuk mengelak daripada meluluskan lebih RM100 juta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak RM700 juta dibelanjakan untuk publisiti kerajaan melalui semua platform media termasuk cetak, televisyen dan media sosial.
Jumlah itu kebanyakannya semasa pentadbiran Muhyiddin dan penggantinya, Ismail Sabri.
Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dari 29 Februari 2020 hingga 16 Ogos 2021, sebelum digantikan Ismail Sabri yang menerajui negara bermula 21 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.
Anwar mengambil alih tampuk pemerintahan pada 24 November 2022 dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan ketika ini.
Menerusi laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Setapak pada 30 Disember 2023, ia merujuk kepada artikel berita Utusan Malaysia bertarikh 11 November yang menyatakan bahawa jumlah dibelanjakan adalah untuk menghebahkan agenda kerajaan terdahulu dari tahun 2020 hingga 2022.
“Jumlah dibelanjakan adalah besar, saya rasa ia tidak sesuai dan menuntut supaya ada perincian di mana RM700 juta wang rakyat ini dibelanjakan kerajaan terdahulu,” menurut laporan polis itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Ashari Abu Samah berkata, kes terbabit sudah dirujuk kepada MoF. – 8 Januari, 2024