Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun

2:45 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, pelantikan Wan Ahmad Dahlan adalah berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan dan perkhidmatan serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 29 tahun sejak mula menyertainya sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Pengangkutan pada 25 Januari 1995,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Ilmu Komunikasi (Kepujian) dari Universiti Airlangga, Surabaya, Indonesia dan Ijazah Sarjana Pengajian Strategik dan Pertahanan dari Universiti Malaya.

Menurut Mohd Zuki, Wan Ahmad Dahlan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Pengelola Bijaya Diraja di Istana Negara serta di Jabatan Perkhidmatan Awam.

“Saya yakin dengan pengalaman serta kredibiliti yang dimiliki, beliau mampu menggalas tanggungjawab yang diamanahkan ini bagi menyokong usaha serta memastikan pembaharuan sektor awam selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Kerajaan juga merakamkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Zulkapli Mohamed atas segala khidmat bakti beliau sepanjang perkhidmatan sebagai KPPA,” katanya. – 8 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related