KUALA LUMPUR – Tanpa berselindung, pelakon dan pengacara, Shakilla Korori mengakui kesilapan dilakukannya menyebabkan kehidupan anaknya, Ameena Sofea, 5, berubah sama sekali dan tidak seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.
Disebabkan itu, Shakilla sanggup berkoban apa sahaja demi memastikan Ameena mendapat kebahagiaan yang harus dimilikinya serta mengutamakannya berbanding perkara lain.
Dalam satu perkongsian di Instagram, Shakilla mendedahkan perkara tersebut menerusi satu luahan nota yang didedikasikan khusus buat anaknya itu.
“Terima kasih kerana hadir dalam hidup Umi saat Umi memang tunggu awak datang. Awak datang dan membawa seribu rahmat dan kebaikan dalam hidup Umi.
“Tapi kesilapan dan kesalahan Umi yang buatkan awak tergelincir dalam perjalanan awak. Kehidupan awak serta-merta berubah. Tak lagi sama macam kawan sebaya awak.
“Awak terpaksa menjadi dewasa sebelum sampai waktunya. Awak terpaksa melalui jalan lain yang di sebelah awak ada Umi yang pastinya suatu perjalanan yang kurang menyeronokan untuk awak.
“Sebab itu, awak selalu nombor satu dalam segala hal yang Umi rancangkan. Awak selalu dalam apa jua kejadian. Tanpa ragu-ragu, Umi akan pilih awak walaupun Umi terpaksa berkorban atau kehilangan. Tempat awak tak pernah goyah dalam hati dan hidup Umi,” katanya.
Menurut Shakilla lagi, dia akan sentiasa menjadi pelindung buat Ameena daripada segala kesakitan, kesedihan atau kesusahan.
“Awak tak layak untuk rasa semua tu tapi awak layak mendapatkan lebih dari yang sepatutnya,” katanya lagi.
Membesarkan Ameena sebagai seorang ibu tunggal, akui Shakilla, perjalanan mereka bersama sudah pun melewati hampir lima tahun dan dia tidak akan sekali-kali melepaskan Ameena.
“Dan, kita akan terus berjalan. Pegang tangan Umi kuat-kuat sebab adakala Umi akan tarik tangan awak kasar sebab Umi tak mungkin akan lepas tangan Ameena walau macam mana sekalipun.
“Kita sama-sama cari perjalanan dan laluan yang baik dan paling cantik untuk kita nikmati dan bermain,” katanya.
Malah, Shakilla turut berjanji dengan Ameena untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat anaknya itu.
“Bagi Umi masa, Umi janji. Allah anugerahkan awak sebaik-baiknya untuk Umi, seorang pendosa. Tak mungkin Umi akan rampas kebahagian awak. Umi hanya melindungi dan pertahankan hak dan maruah anak Umi,” katanya. – 8 Januari, 2024