KUALA LUMPUR – Jenazah wartawan hiburan yang meninggal dunia di London minggu lalu, Siti Nor Hafiza Kamarudin, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Gombak pada kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 5.50 pagi ini, sebelum dibawa ke Masjid Kampung Baru untuk disembahyangkan pada jam 11.30 pagi.
Suami kepada arwah, Mohd Roshdi Ramli, 41, berkata, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menolongnya untuk memudahkan proses membawa pulang arwah ke tanah air.
“Terima kasih kepada semua yang menderma untuk arwah kerana dengan hasil duit derma itulah, saya dapat membawa pulang arwah untuk disemadikan di Malaysia.
“Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil, komuniti Malaysia di London, Malaysia Airlines dan Persatuan Wartawan Hiburan Malaysia kerana banyak membantu,” katanya ketika ditemui pihak media sejurus selesai urusan pengebumian.
Ditanya mengenai detik terakhirnya bersama arwah, kata Roshdi, dia gembira kerana sempat menunaikan hajat arwah untuk bercuti di London bersama keluarga.
“Arwah pernah beritahu saya mungkin ini adalah percutian terakhir kami sekeluarga.
“Dia mahu abadikan momen gembira bersama anak-anak.
“Saya gembira apabila dia sempat menghirup udara London dan melihat pemandangan di sana,” katanya.
Namun kata Roshdi, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat berada di sisi arwah saat arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Saya dan anak tidak sempat berada di sisi semasa arwah sedang nazak. Kami hanya tinggalkannya 10 minit untuk makan.
“Arwah seolah-olah tidak mahu kami melihat dia ‘pergi’. Mungkin dia tak mahu kami bersedih,” ujarnya dalam nada sebak.
Dalam pada itu, majikan yang juga pemilik portal Boom dan Jurnal Malaysia, Datuk Norman Abdul Halim menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar dalam syarikat.
Malah, Norman memaklumkan arwah ialah pekerja yang begitu berdedikasi menjalankan tugas sebagai pengarang berita.
“Arwah bersama kami lebih kurang setahun sejak Disember 2022. Dia sangat komited dengan kerja walaupun sedang bercuti di London, dia tetap memeriksa artikel.
“Kehilangan arwah sangat besar untuk kami kerana dia sentiasa inginkan yang terbaik untuk memajukan portal kami,” katanya.
Terdahulu, pada 28 Disember lalu, Fiza dilaporkan pengsan di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, sewaktu menunggu penerbangan pulang ke Malaysia selepas bercuti ke negara tersebut sejak pertengahan Disember.
Allahyarham merupakan bekas pesakit kanser payudara, namun sel barah berkenaan dikatakan kembali aktif selepas enam tahun disahkan bebas daripada penyakit tersebut. – 6 Januari 2024