‘Perodua setuju beli semula Bezza saya dengan harga penuh’: Nagakanni

Meluahkan kelegaan dan berterima kasih kepada Perodua, dia turut memaklumkan sudah tidak perlu terus membayar ansuran bulanan untuk kereta itu

9:13 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Syarikat automotif tempatan, Perodua akhirnya bersetuju untuk membeli semula denga harga penuh kereta pelanggannya, Nagakanni Subramaniam yang sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila kenderaan jenis Bezza dibelinya itu rosak selepas lapan jam diambil dari pusat jualan.

Keputusan itu menyaksikan kemelut dihadapi kerani terbabit dengan Perodua yang tercetus sejak lebih dua bulan lalu, bernoktah.

“Perodua akhirnya setuju untuk beli semula kereta saya dengan harga penuh!

“Dengan keputusan ini, saya tak perlu lagi bayar bulan-bulan untuk kereta lama dan semua bayaran sebelum ni pun, saya akan dapat semula wang,” katanya menerusi Facebook.

Nagakanni berkata, Perodua juga memberi tawaran untuk dia membeli kereta kedua dengan kadar pinjaman bulanan yang sama atau menolaknya dan membeli kenderaan lain.

“Saya perlu buat keputusan ni dalam tujuh hari. Terima kasih Perodua atas keputusan ini,” katanya.

Malah, Nagakanni berterima kasih kepada semua pihak, termasuk media kerana melaporkan perkara itu secara meluas bagi membantunya menuntut hak.

“Yang paling penting, terima kasih kepada semua yang membantu saya menuntut hak ini.

“Saya terhutang budi dengan anda,” katanya.

Menurutnya, perjuangan menuntut hak daripada syarikat gergasi bukan mudah untuk insan biasa.

“Tapi saya belajar sesuatu. Walaupun kita kecil seperti semut, kalau kita bersatu tanpa kira warna dan kaum, kita akan berjaya.

“Akhirnya, kerana gula, semut bersatu,” katanya.

Terdahulu, kes dialami Nagakanni tular dan mendapat perhatian meluas, terutama apabila dia mendedahkan terpaksa membayar ansuran berjumlah RM537 untuk kereta dibelinya pada Oktober tahun lalu itu, walaupun kenderaan terbabit masih ‘tersadai’ di pusat servis.

Malah, dia berkata, meskipun kes itu sudah berlarutan lebih dua bulan, ia belum diselesaikan Perodua.

Luahnya, dia mengambil kereta itu di sebuah pusat jualan pada 17 Oktober lalu, kira-kira jam 11 pagi, tetapi lapan jam kemudian iaitu 7.40 malam ketika mahu menghidupkan kenderaan terbabit, ia gagal dihidupkan.

Justeru, keesokannya ia terpaksa ditunda ke pusat servis dan mekanik di situ memaklumkan enjin kenderaannya sudah rosak dan lebih mengejutkan pihak Perodua memberitahu, masalah berkenaan dipercayai berpunca daripada gula yang terdapat di dalam enjin.

Bagaimanapun, Rabu lalu, Perodua menerusi penjelasannya memaklumkan, pihaknya sudah mengambil beberapa langkah berhubung isu ‘kereta rosak’ dibangkitkan pelanggannya itu, termasuk menawarkan untuk membeli balik kenderaan berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Roman Jaafar berkata, syarikat itu menafikan pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Kelmarin, Nagakanni berkata, syarikat automotif itu tidak pernah menawarkan solusi secara ‘hitam putih’ berhubung kaedah untuk menyelesaikan isu dihadapinya.

Katanya, ia berkaitan jaminan dan perjanjian bertulis sama ada kereta yang rosak enjin itu, akan dibeli balik atau dia tidak perlu membayar pinjaman kereta berkenaan. – 6 Januari, 2024

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

It’s clearly ‘All In’ Hotel, not ‘Allah’: Perlis mufti urges Muslims to look before leaping

The “All In Hotel” signage does not resemble the word “Allah”, said Datuk Mohd Asri Zainul Abidin after a group complained about its name.

Related