KUALA LUMPUR – Pelawak dan anggota kumpulan Senario, Hamdan atau Abdul Hamdan Mohamed Ramli, 55, yang ditidurkan akibat komplikasi buah pinggang di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru telah menghembuskan nafas terakhir, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Azlee Senario atau Azlee Jaafar ketika dihubungi Scoop benar-benar tidak dapat menahan sebak atas pemergian rakan seperjuangannya itu.
“Hamdan dah takde!” sambil menangis itulah ayat pertama yang terpacul di mulutnya.
Setelah emosinya kembali tenang dan terkawal, Azlee kemudian menyatakan, dia benar-benar kehilangan seorang kawan dan anggota Senario yang baik seperti Hamdan.
“Bila saya muncul dalam sitkom, arwah memang selalu jadi pasangan sparring saya. Bila dia takde, ia memang satu kehilangan yang besar buat saya.
“Tapi, perancangan Allah SWT memang tiada siapa yang dapat jangka. Sehari sebelum membuat persembahan acara Wonderful Night with Senariounion di Johor Bahru, kami semua dapat berkumpul bersama dan bergurau.
“Mungkin Allah SWT memang ingin mempertemukan kami semua, sebelum dia pergi. Kebetulan tahun ini pula adalah sambutan ulang tahun Senartio ke-27,” katanya kembali sebak.
Menurut Azlee lagi, sebetulnya dari awal pagi tadi, dia asyik risau memikirkan keadaan Hamdan yang ketika itu masih kritikal.

“Sampaikan isteri saya pun tegur dan tanya kenapa saya nampak lain. Saya nampak serabut dan tak lalu makan.
“Saya beritahu isteri saya, saya risaukan Hamdan. Akhirnya tidak sangka Hamdan dah takde. Semoga Allah SWT ampunkan dosa-dosanya, Allah SWT tempatkan dia di kalangan orang-orang beriman,” katanya lagi.
Jelas Azlee lagi, dia telah menghubungi saudaranya yang memiliki van jenazah untuk membawa pulang jenazah arwah Hamdan dari HSA ke Ipoh.
“Kita jangkakan urusan di hospital akan selesai sekitar jam 3 petang dan selepas itu, jenazah arwah Hamdan akan terus dibawa pulang ke tempat tinggalnya di Ipoh,” katanya.
Allahyarham Hamdan sebelum ini dijadualkan menjayakan acara Wonderful Night with Senariounion bersama anggota Senario yang lain, iaitu Azlee, Wahid, Apek, Yassin dan Illya di Johor Bahru pada malam Ahad (31 Disember).
Namun, pada petangnya, Allahyarham Hamdan telah dimasukkan ke HSA dan ditidurkan di unit rawatan rapi (ICU), HSA setelah keadaan didapati kritikal akibat jangkitan kuman selepas mengalami cirit birit dan sesak nafas.
Allahyarham Hamdan meninggalkan seorang balu, Norhamalini Ahmed, 53, dan empat cahaya mata. – 5 Januari 2023