Empat lagi dipanggil SPRM bantu siasatan kes libatkan Daim Zainuddin

Peguam mewakili individu berkaitan lahir rasa kesal layanan SPRM terhadap mereka

6:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam mewakili empat individu yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan melibatkan Tun Daim Zainuddin di Putrajaya hari ini, melahirkan rasa kesal dengan tindakan agensi itu apabila dihalang menemani anak guam mereka ketika soal siasat.

Peguam, N. Rajesh dan S. Sachpreetraj dalam kenyataan bersama berkata, empat individu itu telah dipanggil untuk diambil keterangan mengikut Seksyen 30 Akta SPRM 2009.

“Mereka (anak guam) memberikan kerjasama dan hadir ke ibu pejabat SPRM untuk direkod keterangan walaupun diberi notis kurang daripada 24 jam untuk berbuat demikian.

“Walaupun begitu, tindakan SPRM menghalang peguam (menemani anak guam ketika soal siasat) sebagai menyalahi undang-undang.

“Salah seorang peguam berada bersama anak guam di bilik soal siasat dan secara tiba-tiba pegawai SPRM meluru masuk dan memaksa peguam berkenaan keluar,” dakwa mereka.

Menurut peguam berkenaan, justeru SPRM telah menghalang mereka mewakili dan menasihati anak guam.

“Tindakan SPRM ini adalah tidak wajar. Hak untuk mendapatkan wakil peguam apabila disoal badan penguatkuasaan adalah asas kepada sistem keadilan. Ia juga mengejutkan bahawa walaupun kes kematian Teoh Beng Hock dalam tahanan, SPRM terus menghalang akses kepada peguam untuk orang yang disoal siasat.

“Jelas sekali SPRM tidak belajar apa-apa daripada kesilapan mereka sebelum ini. Apabila ditanya siapa yang mengarahkan kami dikeluarkan dari bilik soal siasat, pegawai SPRM mendakwa ia adalah atas arahan ‘pihak atasan’,” dakwanya.

Menurut mereka, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan sedemikian.

“Kami mahu beliau menjelaskan mengapa peguam dilarang menemani anak guam ketika disoal siasat,” katanya.

Sementara itu, Scoop sudah mengajukan mengenai perkara tersebut kepada Azam namun masih belum mendapat maklum balas daripada beliau.

Pada 24 Disember lalu, Azam memberitahu Scoop bahawa SPRM akan memanggil Daim bagi siasatan terhadap perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik tokoh konglomerat terkenal itu.

Ia susulan tindakan suruhanjaya itu menyita bangunan Menara Ilham yang mempunyai kaitan dengan bekas Menteri Kewangan itu baru-baru ini.

Dalam laporan media, Azam mengesahkan siasatan terhadap Daim oleh SPRM menjurus kepada perolehan pembelian-pembelian aset dan perniagaan milik Daim.

Pada 18 Disember lalu, bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai di sini disita SPRM.

Azam mengesahkan penyitaan itu namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Notis penyitaan harta tak alih bertarikh 18 Disember 2023 itu disiarkan dalam ruangan notis pemberitahuan sebuah portal berita dalam talian.

Menurut notis itu, Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan diarah untuk menyita harta tak alih bagi bangunan Menara Ilham di atas geran 75830, bernombor Lot 20002, yang mempunyai alamat di No. 8, Jalan Binjai, Kuala Lumpur.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 [Akta 694] dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] setelah berpuas hati berdasarkan maklumat yang diberikan oleh pegawai SPRM.

Notis terbabit turut melarang segala urusan tentang harta tak alih, selain dengan serta-merta mencatatkan terma notis tersebut pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu di dalam Daftar pejabat Pendaftar Hak Milik.

Pada Mei lepas, SPRM dilaporkan sedang menyiasat seorang tokoh korporat berhubung kes penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Siasatan itu adalah kesinambungan dan lanjutan daripada pendedahan dokumen sulit oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Siasatan itu dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – 4 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related