KUALA LUMPUR – Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengadakan perbicaraan awam di Peace Palace, The Hague, Belanda pada 11 dan 12 Januari ini berhubung tindakan Afrika Selatan memfailkan permohonan memulakan prosiding terhadap rejim Zionis atas jenayah melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid ke atas rakyat Palestin.
Dalam kenyataannya, ICJ memaklumkan, negara itu dalam permohonannya menegaskan Israel telah mencabuli kewajibannya di bawah Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid susulan situasi rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Menurut ICJ, dalam permohonan itu juga, Afrika Selatan menarik perhatian umum bahawa Israel mungkin melakukan tindakan sama pada masa depan.
PRESS RELEASE: the #ICJ will hold public hearings on the request for the indication of provisional measures submitted by #SouthAfrica in the case #SouthAfrica v. #Israel on Thursday 11 and Friday 12 January 2024. Watch live on @UNWebTVhttps://t.co/kHMCQklbfQ pic.twitter.com/t8Pgf5T4Ly
— CIJ_ICJ (@CIJ_ICJ) January 3, 2024
“Perbicaraan awam itu akan ditumpukan kepada permintaan (Afrika Selatan) yang sebelum ini meminta ICJ mengeluarkan arahan sementara kepada Israel supaya menghentikan serangannya di Gaza,” katanya.
Berikut jadual perbicaraan yang dikongsi ICJ:
Khamis, 11 Januari 2024 : Hujah lisan (Afrika Selatan);
Jumaat, 12 Januari 2024 : Hujah lisan (Israel).
Pada 29 Disember lalu, Afrika Selatan memfailkan permohonan untuk memulakan prosiding terhadap rejim Zionis atas jenayah melakukan pembunuhan beramai-ramai atau genosid ke atas rakyat Palestin.
Kata ICJ, dalam permohonan itu, Afrika Selatan memaklumkan tindakan Israel adalah jelas satu bentuk genosid kerana ia dilakukan dengan ‘niat khusus’ untuk memusnahkan rakyat Palestin di Gaza.
Katanya, Afrika Selatan selanjutnya menyatakan Israel sejak 7 Oktober lalu telah gagal ‘mencegah’ melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Israel telah terlibat dan berisiko untuk terus terlibat dalam tindakan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza,” kata ICJ merujuk permohonan itu.
Namun dalam responsnya terhadap tindakan Afrika Selatan itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, rejim Zionis tidak ambil peduli malah akan meneruskan perang di Gaza.
“Kami akan meneruskan perang bagi mempertahankan Israel,” katanya pada mesyuarat Kabinet di Tel Aviv semalam.
Tindakan Afrika Selatan itu mendapat sokongan Malaysia yang menyambut baik permohonan untuk memulakan prosiding terhadap Israel.
Prosiding terhadap Israel itu dibuat mengikut Konvensyen 1948 membabitkan Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid (Genoside Convention). – 4 Januari, 2024