KUALA LUMPUR – Tahun 2023 yang bakal melabuhkan tirainya, terbukti menjadi tempoh mencabar bagi ekonomi Malaysia berikutan kenaikan kadar faedah, ketidakpastian ekonomi global dan juga isu kos sara hidup yang memberi kesan kepada sentimen pengguna.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, meskipun negara berdepan ekonomi mencabar sepanjang tahun ini, kerajaan masih lagi cuba mengekalkan mode untuk mereformasikan ekonomi.
Menurutnya, selera untuk mereformasikan ekonomi jelas dizahirkan melalui beberapa dasar yang baharu diumumkan termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Kalau kita saksikan tempoh sembilan bulan pertama, sememangnya ekonomi negara melalui satu fasa pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan. Jadi bergerak ke hadapan, jika tahun ini kita berbincang mengenai pelan (perancangan), tahun depan pula lebih kepada pelaksanaan.
“Tahun ini memang sangat mencabar kerana kita berdepan pelbagai permasalahan ekonomi global berkait rapat dengan kenaikan kadar faedah begitu tinggi di negara maju, kelembapan ekonomi negara China dan situasi geopolitik yang boleh mengubah sentimen pasaran ekonomi global.
“Jadi pada pendapat saya, walaupun ekonomi agak mencabar, pencapaian (ekonomi) kita agak decent (baik) ketika ini. Ini kerana kita masih mampu mengekalkan momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran menurun kepada paras 3.3 peratus,” katanya kepada Scoop.
Ramalan RAM Ratings
Jelas beliau lagi, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka berkembang sebanyak 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2024 berdasarkan ramalan Ram Ratings Services Bhd (RAM Ratings) dipacu dua enjin pertumbuhan penting iaitu permintaan domestik dan juga permintaan luaran.
Bagaimanapun katanya, permintaan domestik merupakan enjin lebih prominen dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara terutama dari sudut perbelanjaan kerajaan.
“Dari segi perbelanjaan dalam kalangan pengguna masih lagi dalam keadaan sihat, tetapi trend atau mode lebih berhati-hati kerana berkait rapat dengan isu kos sara hidup dan juga keperluan untuk meneliti semula perbelanjaan peribadi mereka.
“Jadi sudah tentu ia akan memberi kesan kepada momentum pertumbuhan ekonomi pada tahun depan. Di sini peranan kerajaan amat penting untuk mewujudkan satu bentuk keyakinan di peringkat isi rumah dan perniagaan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, dari sudut faktor luaran pula, sektor utama berkait rapat semikonduktor berpotensi untuk menerajui pertumbuhan lebih positif pada 2024.
“Ini disebabkan jangkaan lebih positif berkenaan jualan sektor itu di peringkat global ke paras 13 peratus pada tahun depan, berbanding unjuran sebelum ini iaitu sebanyak 11 peratus. Ia satu unjuran yang boleh memberi manfaat kepada sektor eksport,” katanya.
Keyakinan pelabur
Tambahnya, keyakinan pelabur ketika ini agak tidak menentu dengan angka pelaburan asing yang masuk meningkat lebih enam peratus untuk sembilan bulan pertama.
Namun katanya, dari segi pelabur portfolio untuk pasaran saham atau bon, keyakinan (pelabur) agak berkurangan.
Justeru, Mohd Afzanizam berkata, pelantikan tokoh teknokrat, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Menteri Kewangan II, dilakukan tepat pada masanya untuk menyuntik keyakinan dalam kalangan pelabur.
“Milikan asing dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) masih rendah iaitu 3.5 peratus setakat November. Dari sudut keyakinan pelaburan dalam fix income, kegusaran (pelabur) bagaimana kerajaan mentadbir dasar fiskal mereka.
“Dengan pelantikannya, Akta Kewangan Awam dapat dilaksanakan dengan efektif dan mencapai sasaran ditetapkan. Peranannya juga sangat menepati aspirasi bagaimana kerajaan cuba meningkatkan pelabur portfolio kerana beliau begitu memahami apa dimahukan peserta pelabur pasaran modal,” katanya.
Nilai ringgit
Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Barjoyai Bardai menjangkakan mata wang ringgit akan lebih mengukuh pada awal 2024.
Beliau berkata, ia berikutan dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin lemah dari segi pengaruhnya di seluruh dunia dengan kewujudan mata wang baharu BRICS iaitu Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Bagaimanapun katanya, Malaysia mengimport lebih RM80 bilion makanan setahun dan sekiranya harga barangan import meningkat, negara akan berdepan inflasi import (imported inflation).
“Harga barang mungkin meningkat dan ini kesan kita terpaksa tanggung disebabkan kenaikan barang import berkait makanan.
“Justeru, kita perlu mengawal import kerana ia menyebabkan import lebih mahal dan melemahkan nilai ringgit,” katanya kepada Scoop.
Pada masa sama, Barjoyai berkata, masih belum terlambat untuk kerajaan mempergiatkan strategi keselamatan makanan yang masih belum menampakkan kesan ketara ketika ini.
“Soal keselamatan makanan belum mencukupi dari segi pelaksanaan aktiviti. Kita perlu betul-betul melakukannya dengan menjadikan keselamatan makanan sebagai satu industri. Kita tak boleh anggap ia masalah pertanian.
“Ia perlu dijadikan satu industri yang berdaya maju dan melibatkan seramai mungkin pihak. Masih belum terlambat, jika kita mulakan strategi keselamatan makanan ini serta-merta, hasilnya dapat dilihat dalam tempoh kurang enam bulan.
“Sebagai contoh, kita pergiatkan usaha tanaman padi dan dalam masa kurang empat bulan dah dapat hasil. Jadi kita boleh selesaikan masalah import dan harga beras. Begitu juga ayam, kita boleh usahakan penternakan secara komersial melalui petani dan pekebun kecil,” katanya.
Risiko kemelesetan ekonomi
Pakar Ekonomi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) Research, Abdul Mui’zz Morhalim berkata, risiko kemelesetan dalam ekonomi global perlu diberikan tumpuan oleh kerajaan kerana kelembapan yang berlaku mungkin lebih laju daripada yang dijangkakan.
Katanya, ini kerana kadar faedah sedia ada berada di paras tertinggi dan memberi kekangan kepada pengguna di AS, khususnya mereka yang ada masalah untuk membayar hutang masing-masing.
“Dari segi risiko kemelesatan masih jadi kebimbangan. Kalau kita amati kebanyakan risiko dan kelembapan berlaku berkait rapat pertumbuhan lebih perlahan bagi rakan dagangan utama Malaysia seperti AS dan China.
“Melihat kepada pertumbuhan ekonomi AS, lebih baik dari jangkaan cuma disebabkan kadar faedah tinggi, kita menjangkakan permintaan AS akan lebih perlahan. Jadi, ia secara tidak langsung akan beri kesan negatif kepada kemampuan pengguna untuk mengekalkan perbelanjaan lebih tinggi pada tahun hadapan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, situasi geopolitik juga menimbulkan kebimbangan berdasarkan kesan peperangan Ukraine-Russia yang menjejaskan aktiviti perdagangan global.
“Dari segi situasi geopolitik setakat ini, walaupun masih belum selesai, cuma dari segi risiko yang berlaku melibatkan geopolitik di Timur Tengah masih belum memberi kesan yang signifikan.
“Cuma kita masih perlu terus mengambil kira kelembapan atau gangguan aktiviti perdagangan luar, mungkin akan menjejaskan prestasi perdagangan Malaysia pada tahun depan,” katanya.
Kementerian Ekonomi baru-baru ini juga mengingatkan skala konflik yang besar akan memberi impak ketara terutama dari segi kenaikan harga minyak dan gangguan terhadap rantaian bekalan perdagangan dengan kesannya ke atas inflasi global dan pertumbuhan ekonomi secara amnya serta pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Bagaimanapun, jika hanya membabitkan Palestin dan Israel, ini tidak memberi sebarang kesan ekonomi langsung kepada dunia secara amnya berikutan kedua-duanya bukan antara negara perdagangan utama dunia. – 30 Disember, 2023