KUALA LUMPUR — Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan terlibat dalam kes kecurian RM85,000 dalam operasi khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), awal bulan ini.
Lans Koperal Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Koperal Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30 dan Lans Koperal Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama pada pukul 2.27 petang, 21 Disember lalu mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn. Bhd., No 29,Tingkat 1, Jalan Lebuh Pudu, Off Jalan Silang di sini.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun serta boleh dikenakan denda manakala bagi kesalahan kali kedua perlu dipenjara dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Majistret Aina Azzahra Arifin menetapkan ikat jamin sebanyak RM17,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan.
Anggota polis terbabit juga diperintah untuk menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat setiap awal bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 6 Februari ini.
Baru-baru ini Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis menerima aduan daripada pemilik premis pada pukul 12.36 tengah malam, 22 Disember lalu yang mendakwa wang tunai RM85,000 yang disimpan di premis itu hilang.
“Dalam siasatan itu, kita telah menahan seramai tiga anggota polis berusia 26 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes kehilangan wang tunai seperti mana yang dilaporkan,’’ katanya.
Terdahulu, tular satu laporan polis berkaitan kejadian terbabit di media sosial, yang mana pengadu mendakwa wang hasil perniagaan berjumlah RM85,000 tersimpan dalam almari di premisnya didapati hilang.
Pengadu mendakwa, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis itu menunjukkan tiga anggota polis dilihat memasuki premisnya pada hari kejadian.
Dalam operasi besar-besaran bermula jam 11 pagi itu, sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa dan seramai 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan. – 29 Disember, 2023