PLSB Sungai Golok: Kerajaan lulus bina benteng sementara bernilai RM6 juta: PM

Benteng sementara itu perlu dilakukan secepat mungkin di tiga tempat yang telah dikenal pasti dengan peruntukan masing-masing bernilai RM2 juta

4:47 PM MYT

 

PASIR MAS – Kerajaan meluluskan peruntukan segera bernilai RM6 juta untuk membina benteng sementara termasuk struktur alur limpah bagi Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang, di sini, bagi mengatasi masalah banjir termenung di kawasan berhampiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata benteng sementara itu perlu dilakukan secepat mungkin di tiga tempat yang telah dikenal pasti dengan peruntukan masing-masing bernilai RM2 juta.

“Benteng pecah itu saya tidak tahu punca tapi ada langkah yang dicadangkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri untuk buat benteng sementara di tiga tempat, masing-masing dengan peruntukan bernilai RM2 juta.

Justeru, permohonan JPS negeri bernilai RM6 juta diluluskan segera dan perlu dilakukan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Lati, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Terdahulu, Anwar meluangkan masa lebih 30 minit melakukan tinjauan di Jambatan Lubok Jong, di sini dan mendengar taklimat daripada wakil JPS negeri mengenai situasi banjir di Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan benteng PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang, pecah pada Selasa lepas sehingga mengakibatkan air dari Sungai Lanchang mengalir keluar laju ke arah Sungai Golok.

Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk menyegerakan proses pengambilan tanah bagi membolehkan projek PLSB Sungai Golok Fasa 2 dilaksanakan dalam tempoh masa terdekat.

Beliau berkata peruntukan tambahan berjumlah RM800 juta juga diluluskan bagi mempercepatkan pelaksanaan projek itu yang dijangka bermula awal tahun depan.

“Kita terpaksa ambil langkah segerakan pelaksanaan projek PLSB Fasa 2 di  Rantau Panjang, kerana ia ternyata mampu mengurangkan tekanan banjir di situ,” katanya.

Projek PLSB Sungai Golok yang dilaksanakan dalam tiga fasa membabitkan peruntukan berjumlah lebih RM2 bilion dan dijangka melindungi 31,000 penduduk dan kawasan seluas 66,000 hektar daripada banjir.

Sementara itu, Anwar berkata sebanyak lima projek baharu bagi mengatasi masalah banjir di Kelantan dijangka akan memulakan proses perolehan pada tahun hadapan dengan kos keseluruhan dijangka berjumlah RM910.52 juta.

“(Peruntukan) hampir RM1 bilion ini menunjukkan bahawa tumpuan kita terhadap masalah banjir yang berlaku kerana banjir ini berat ditanggung rakyat di Kelantan. Maka, projek tebatan banjir diberi lebih keutamaan di Kelantan,” katanya. – 28 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Tennis star Kyrgios enjoys Raya with family in Malaysia

Born Nick Hilmy Kyrgios, he boasts Malaysian heritage through his mother, Norlaila – affectionately known as Nil. 

Related