PUCHONG — Menghampiri dua minggu kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan di sini, penduduk yang terkesan setakat ini berpuas hati dengan kerja baik pulih dijalankan pihak berkuasa.
Bagaimanapun seorang penduduk, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata, apa yang lebih diinginkan penduduk ketika ini ialah diberikan kebenaran untuk kembali ke kediaman masing-masing secepat yang mungkin.

“Kita faham perkara ini melibatkan kerja teknikal, bukan sekadar untuk tambak sahaja, jadi mereka (pihak berkuasa) lebih mahir. Kita nak gesa macam mana lagi? Cuma nak gesa untuk dapat duduk balik, itu sahaja.
“Dengan siapa kita nak gesa? Dengan kerajaan, banyak agensi, MBSJ? TNB kah? Jabatan Mineral & Geosains (JMG) kah atau Air Selangor kah kita tak tahu? Jadi macam mana nak gesa?
“Yang boleh itulah kita hendak duduk balik, berapa lama kita hendak menumpang rumah orang, walau pun adik-beradik, itu sahaja,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau yang tinggal di situ sejak 23 tahun lalu berkata, buat masa sekarang, penduduk amat menghargai kerja-kerja dilakukan pihak berkuasa dalam membaik pulih dan membina jalan baharu.
“Itu satu tanda yang bagus, selepas ini penduduk boleh membawa keluar kenderaan yang berada di garaj mereka untuk kegunaan harian malah ada yang perlu hantar anak ke sekolah selepas ini.
“Penduduk juga memahami kerja-kerja teknikal yang rumit yang memerlukan penelitian dan memakan masa untuk diselesaikan sebaiknya bagi menjamin keselamatan kami.
“Kita reda sahaja, nak kata apa lagi, nak piket nak bantah, rasa itu kerja yang bodohlah, nak bising kepada media, tak guna juga.
“Sebab kita boleh lihat sendiri kerjanya banyak, bukan longkang atau tanah runtuh sahaja, ia berkait sana sini, belum cerita pasal keadaan rumah lagi, retak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, penduduk akan tetap kembali menduduki kediaman mereka sekiranya laporan lengkap menyatakan kawasan itu kembali selamat untuk didiami.
“Kita akan balik, kita nak pindah ke mana, nak beli rumah baharu kah, macam saya yang dah berusia, dah tidak bekerja siapa yang hendak beri pinjaman, harga rumah sekarang pun bukannya murah.
“Lagi pun dari segi pemerhatian, dah ada piling (cerucuk) dan ini pakar yang buat bukan kontraktor biasa, jadi kita berdoa semoga semuanya berjalan lancar,” katanya yang kerap datang bagi melihat perkembangan kerja membaik pulih di hadapan rumahnya.
Ditanya mengenai sebarang bantuan, beliau berkata, setakat ini penduduk sudah menerima saguhati diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Ng Sze Han dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.
Dalam kejadian 16 Disember lalu, 29 penghuni di sembilan unit teres di situ diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka. – 29 Disember, 2023