Kepung Demi Palestin: DBKL arah peserta turunkan khemah

Tindakan itu diambil susulan peserta enggan mematuhi nasihat polis supaya tidak memasang khemah untuk bermalam di tepi jalan di kawasan berkenaan

8:42 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menurunkan khemah dipasang peserta himpunan Kepung Demi Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, awal pagi ini.

Tindakan itu diambil susulan peserta enggan mematuhi nasihat polis supaya tidak memasang khemah untuk bermalam di tepi jalan di kawasan berkenaan kerana ia membahayakan keselamatan.

Menerusi video diterima Scoop, kelihatan beberapa petugas DBKL mengarahkan peserta menurunkan khemah, dengan bekas Ahli Parlimen Batu yang juga jurucakap gabungan penganjur, Chua Tian Chang cuba berbincang dan berkompromi dengan mereka supaya tidak berbuat demikian.

Chua turut dilihat ‘berperang mulut’ dengan seorang individu dipercayai petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung arahan supaya mereka segera menurunkan khemah berkenaan.

Malah, beliau meminta individu terbabit tidak menyentuh khemah peserta dengan menyifatkannya tidak mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Chua Tian Chang dilihat ‘berperang mulut’ dengan seorang individu dipercayai petugas pihak berkuasa tempatan berhubung arahan supaya mereka segera menurunkan khemah. – Gambar tangkap layar, 27 Disember, 2023

“Kita buka dari sana you (anda) bagi lah masa. Kita runding, kita dah kata kita akan buat sendiri, tangan you tak boleh sentuh barang kita.

“Kita tengah buka sana satu demi satu lah, you jangan sentuh, you tak ada hak untuk sentuh, kita tengah buat, you jalan, you keluar, jangan kurang ajar,” katanya.

Setiausaha Agung Parti Muda, Amir Hariri Abd Hadi yang turut berada di lokasi berkata, pihak penganjur agak kecewa apabila peserta tidak dibenarkan mengadakan himpunan aman itu dengan lancar seperti dirancang walaupun acara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Malah, katanya, tindakan diambil itu tidak sepatutnya dilakukan kerana himpunan terbabit bukan bermotifkan politik domestik, sebaliknya isu politik antarabangsa.

Lebih mengecewakan, katanya, apabila peserta menerima layanan seolah-olah mereka adalah penjenayah.

“Kita dilayan macam penjenayah. Sekarang pukul 3 pagi dan kita tahu masing-masing pun boleh nak balik tidur, tapi di sini kita tak menganggu sesiapa pun, kalau tengok tidak menganggu jalan raya dan sebagainya,” katanya.

Amir Hariri turut mempertikai mengapa pihak berkuasa tidak boleh bertimbang rasa berhubung isu Palestin, tambahan himpunan itu adalah untuk tujuan positif.

DBKL mengeluarkan notis kepada peserta himpunan Kepung Demi Palestin agar segera menurunkan khemah mereka atas faktor menganggu keselamatan. – Gambar Scoop, 27 Disember, 2023

“Bukan kita berdiri di sini untuk menganggu orang lain, bukan kita di sini untuk minta nak jatuhkan kerajaan ataupun nak buat rusuhan, kita secara aman pacak khemah untuk kita bersolidariti bersama rakyat Palestin, tak akan tak boleh bagi kita masa, mana kemanusiaan kita…” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya melarang peserta himpunan itu daripada mendirikan sebarang struktur, termasuk khemah di hadapan Kedutaan AS.

Katanya, menjadi tanggungjawab polis mengeluarkan arahan itu bagi menjaga ketenteraman dan keselamatan semua pihak, termasuk premis pihak kedutaan asing.

“Kita tidak akan membenarkan apa-apa insiden yang menggugat ketenteraman awam, khususnya keselamatan premis suruhanjaya tinggi dan kedutaan asing di kawasan ini.

“Tanggungjawab utama kita sekarang adalah untuk memastikan tiada apa-apa struktur, khemah dan sebagainya didirikan di kawasan berhampiran dengan kedutaan-kedutaan asing di sini.

“Kita perlu juga pertimbangkan keselamatan orang awam, kenderaan lalu lintas dan sebagainya supaya tidak terganggu, jadi saya mohon pada semua berikan kerjasama,” katanya kepada pihak media di lokasi himpunan, malam tadi.

Allaudeen menegaskan, pihak polis berpegang kepada pendirian bersimpati dengan nasib dialami rakyat Palestin, namun tetap mempunyai tanggungjawab utama menjaga keselamatan rakyat dan penduduk.
Tegasnya, tanggungjawab itu bukan sahaja membabitkan warganegara Malaysia, malah semua pihak, termasuk tetamu asing di negara ini.

Peserta Kepung Demi Palestin tetap memasang khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat sebagai tanda solidariti kepada rakyat Gaza, walaupun dinasihatkan polis supaya tidak berbuat demikian. – Azim Rahman/Scoop, 27 Disember, 2023

Bagaimanapun, peserta nekad mendirikan khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, sebagai tanda solidariti kepada rakyat di Gaza yang berdepan kekejaman Israel.

Mereka turut mendirikan khemah kira-kira satu kilometer (km) daripada pintu masuk kedutaan itu, susulan pihak polis memasang garisan kuning bagi menghalang peserta himpunan mendekati lokasi berkenaan.

Himpunan bermula kira-kira jam 10 malam itu menyaksikan ratusan peserta berarak dari Menara TH menuju ke Kedutaaan AS bagi mendesak sekutu Israel itu menggesa dan menuntut supaya genjatan senjata segera dilakukan rejim Zionis.

Penganjur Himpunan Kepung Demi Palestin, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berkata, antara agenda mereka adalah mendirikan khemah dan bermalam di hadapan Kedutaan AS selama enam hari sehingga 31 Disember ini sebagai tanda solidariti kepada Palestin. – 27 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related