KUALA LUMPUR – Peserta himpunan Kepung Demi Palestin nekad mendirikan khemah berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini, sebagai tanda solidariti kepada rakyat di Gaza yang berdepan kekejaman Israel, walaupun pihak polis melarang mereka daripada berbuat demikian.
Malah, mereka mendirikan khemah kira-kira satu kilometer (km) daripada pintu masuk kedutaan itu, susulan pihak polis memasang garisan kuning bagi menghalang peserta himpunan mendekati lokasi berkenaan.
Seorang peserta, Ahmad Hani Ahmad Hariza, 24, berkata, dia dan beberapa rakan tetap mengambil keputusan mendirikan khemah untuk bermalam di sekitar kawasan itu, bagi menunjukkan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/12/unnamed-1024x768.jpg)
“Kami pasang khemah ini sebagai tanda solidariti, ia tidak akan mengertak Kedutaan AS terhadap solidariti yang kita perjuangkan kalau kita terus mengalah.
“Nak melawan dengan kuasa besar dunia bukan mudah jadi kita tak boleh mengalah, malah sebenarnya perjuangan rakyat Malaysia akan nampak lemah jika dibandingkan dengan solidariti ditunjukkan penduduk negara luar, seperti di UK (United Kingdom) yang sangat konsisten.
“Kami harap lebih ramai rakyat Malaysia akan turun sama-sama menyokong perjuangan ini,” katanya ketika ditemui Scoop, malam tadi.
Sementara itu, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM), Gandipan Nantha Gopalan, 27, berkata, sebagai satu daripada penganjur bersama, pihaknya cuba berbincang denga pihak polis agar gerakan himpunan berkenaan dapat mara sehingga ke Kedutaan AS.
“Usaha ini (solidariti) juga adalah selaras dengan pandangan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang sangat kritis dengan situasi di Palestin.
“Walaupun polis tidak benarkan kami pergi ke Kedutaan AS, kami tetap akan berkhemah berdekatan kawasan ini.
“Harap polis tidak buat sekatan dan program aman ini akan dapat berjalan lancar,” katanya.
![](https://www.scoop.my/canon/uploads/2023/12/unnamed-1-1024x768.jpg)
Terdahulu, ratusan peserta himpunan itu berarak menuju ke Kedutaaan AS bagi mendesak sekutu Israel itu menggesa dan menuntut supaya genjatan senjata segera dilakukan rejim Zionis.
Penganjur Himpunan Kepung Demi Palestin, Sekretariat Solidariti Palestin (SSP) berkata, antara agenda mereka adalah mendirikan khemah dan bermalam di hadapan Kedutaan AS selama enam hari sehingga 31 Disember ini sebagai tanda solidariti kepada Palestin. – 27 Disember, 2023