KUALA LUMPUR — Sebanyak 48 organisasi terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), gerakan mahasiswa dan organisasi politik akan menyertai bantahan #Kepung Demi Palestin yang akan diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini selama enam hari bermula esok.
Menerusi perkongsian di aplikasi X hari ini, Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abd Hadi berkata bantahan itu bagi menuntut gencatan senjata dilaksana di Gaza berikutan kekejaman berterusan rejim Israel terhadap rakyat Palestin.
“Aksi #Kepung Demi Palestin yang akan berlangsung esok, disokong oleh 48 organisasi. Kita bersatu demi Palestin.
“Jumpa semua jam 10 malam esok, di hadapan Masjid Tabung Haji! Kita tuntut gencatan senjata sekarang!,” katanya.
Beliau turut berkongsi poster bantahan yang meminta peserta berkumpul di Masjid Tabung Haji jam 10 malam esok.
Antara NGO yang akan turut serta termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine (MWCQP), BDS Movement Malaysia, Viva Palestina Malaysia (VPM), Yayasan Al Quds Malaysia, Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil (Bersih), Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Sementara parti politik yang terbabit antaranya ialah Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Pemuda Amanah, Pemuda PAS, Angkatan Muda Keadilan (AMK), Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu).
Bantahan itu turut didokong gerakan mahasiswa antaranya Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia (Gpms) Universiti Malaya, Mahasiswa Roket, Mahasiswa Keadilan Malaysia dan Mahasiswa Umno Malaysia.
Sementara itu, Sekretarian Solidariti Palestin memaklumkan, bantahan terbabit akan diadakan secara aman dengan penganjur meletakkan khemah sepanjang piket, mengadakan acara solidariti setiap malam, memasang bendera serta simbol perjuangan rakyat Palestin.
“Kami merancang mengadakan satu himpunan mega sebagai grand finale pada 31 Disember sebagai acara penutup.
“Justeru kami ingin menjemput semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit, serta mereka yang bersolidariti bersama rakyat Palestin untuk bersama-sama dalam bantahan ini,’’ katanya. – 25 Disember, 2023
Aksi #Kepung Demi Palestin yang akan berlangsung esok, disokong oleh 48 organisasi.
— amirx abd hadi (@amirxabdhadi) December 25, 2023
Kita bersatu demi Palestin.
Jumpa semua jam 10 malam esok, dihadapan Masjid Tabung Haji!
Kita tuntut gencatan senjata sekarang! pic.twitter.com/0isYejiUxs