Kekal Mohamad Sabu sebagai Presiden supaya Amanah tidak ‘bergoncang’: Penganalisis

Hasil undian bagi memilih ahli jawatankuasa (AJK) parti jelas menunjukkan cita rasa sebenar perwakilan

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan sebulat suara mengekalkan Datuk Seri Mohamad Sabu sebagai Presiden Amanah menunjukkan tanda kompromi kalangan pemimpinnya tanpa perlu ‘menggoncang’ kestabilan parti.

Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang dilantik sebagai timbalan presiden yang baharu pula dilihat pemimpin reformis yang banyak idea dan peneraju masa depan untuk terus membawa perubahan dalam Amanah.

Amanah mahu mengekalkan kepimpinan sekarang, tapi memberi nafas baharu sedikit seperti yang dipamerkan dalam keputusan perwakilan pada pemilihan itu. – Gambar Facebook, 25 Disember, 2023

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, hasil undian bagi memilih ahli jawatankuasa (AJK) parti jelas menunjukkan cita rasa sebenar perwakilan.

“Tapi AJK 27 orang ini mempunyai strategi berlainan iaitu tidak mahu menggoncang Amanah dengan mengekalkan Mohamad Sabu tapi memberi timbalan kepada Mujahid selain Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Naib Presiden) sebagai pelapis untuk membawa Amanah ke arah baharu yang lebih kuat.

“Bukan sahaja lebih kuat dalam Pakatan Harapan tetapi lebih kuat dalam menarik pengundi Melayu, terutama sekali kerana mereka terpaksa bersaing dengan Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jadi mereka mahu mengekalkan kepimpinan sekarang, tapi memberi nafas baharu sedikit seperti yang dipamerkan dalam keputusan perwakilan pada pemilihan itu,” katanya kepada Scoop hari ini.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, kombinasi kepimpinan dalam Amanah sekarang ini dilihat sebagai satu bentuk kompromi, mengekalkan tradisi dan pada masa sama bersedia ke arah reformasi dalam parti.

“Sebelum ini dengar bunyi-bunyi nak reform (pembaharuan), nak buat pertukaran kepimpinan, wujud desas-desus ada kumpulan dalam Amanah, namun mereka mengetepikan itu dan mengutamakan kepentingan parti, kompromi telah berlaku dalam Amanah.

“Ini sebenarnya baik untuk parti itu memastikan terus stabil dan fokus keada program dan agenda parti selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, Amanah mengekalkan kestabilan parti dengan tidak mengetepikan Mohamad Sabu yang banyak pengalaman dan jasa dalam parti.

“Mujahid sebagai timbalan bermaksud permulaan reform itu sudah mula berlaku dalam Amanah, tanggungjawab besar untuk beliau manakala pelantikan tiga naib presiden, Dr. Dzulkefly pula popular dalam parti dan beliau akan membantu parti dengan pengalamannya.

“Pemilihan Dr. Siti Mariah Mahmud pula pengiktirafan kepada wanita, kali pertama wanita diangkat sebagai naib presiden manakala Adly Zahari pula pemimpin muda meningkat naik dan dilihat akan bergabung tenaga bersama Mujahid untuk masa depan Amanah,” katanya.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu ketika menyampaikan amanatnya di Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara semalam. – Gambar Facebook, 25 Disember, 2023

Tambah Mazlan, melihat komposisi pemilihan 27 AJK juga ada sedikit pembaharuan dengan memasukkan beberapa tokoh muda seperti Muhammad Faiz Fadzil, Anfaal Saari dan Ahmad Sabki Yusof, selain beberapa pemimpin lama terkeluar.

“Maknanya Amanah ini nak buat satu pembaharuan dalam parti, gandingan 27 orang itu bila ada muda dan veteran menunjukkan bahawa mereka mengharmonikan keadaan itu.

“Kalau buang orang lama nampak sangat mahu mengetepikan mereka, sedangkan mereka banyak pengalaman yang boleh dimanfaatkan untuk parti. Kekal orang lama dan pada masa sama menyuntik dengan tenaga orang muda yang dianggap pemimpin masa depan Amanah,” katanya.

Semalam Mohamad Sabu sekali lagi dilantik sebagai Presiden Amanah bagi penggal ketiga dalam pemilihan Amanah sesi 2023-2026.

Keputusan sebulat suara yang sudah dijangka itu diumumkan pada Konvensyen Amanah 2023 oleh Speaker Azhar Shukur. – 25 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related