KUALA LUMPUR — Sebuah madrasah di Kampung Sungai Tiram, Batu 19, Sandakan, Sabah musnah dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi tadi.
Madrasah Al-Fattah seluas 30×70 kaki persegi itu terbakar pada 1.33 pagi dan kebakaran terbabit hanya dapat dipadamkan sepenuhnya pada 4.19 pagi.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Samzari Ganih, sebaik tiba di lokasi, api marah dan membakar bangunan terbabit.
“Operasi memadamkan kebakaran itu dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera Bomba dan air terbuka.
“Setelah Bomba tiba, didapati kebakaran itu berlaku di bangunan madrasah jenis separuh kekal yang berkeluasan 30×70 kaki persegi dan telah terbakar 100%,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Punca kebakaran, kata Samzari masih dalam siasatan. – 24 Disember, 2023