Kerajaan benarkan ZIM berlabuh pada 2002 kerana Malaysia menaruh harapan usaha damai Palestin-Israel: Dr. Mahathir

Malangnya segala usaha sia-sia kerana Israel terus perlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin

7:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan pada 2002 membenarkan syarikat perkapalan Israel, ZIM berlabuh kerana ketika itu Malaysia masih menaruh harapan kepada usaha damai antara Palestin dan Israel.

Perkara itu dijelaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi hantaran di laman X susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ZIM yang tidak akan dibenarkan untuk berlabuh di pelabuhan-pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.

Penjelasan tersebut berkait dengan kenyataan Anwar bahawa Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat itu berlabuh di Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, kerajaan ketika itu juga pernah membenarkan pasukan kriket Israel dengan harapan rakyatnya dapat melihat bahawa penduduk Malaysia yang majoriti beragama Islam boleh hidup bersama rakyat beragama lain.

“Malangnya segala usaha itu jelas sia-sia kerana Israel selepas itu terus memperlihat sifat kebinatangannya dan terus membunuh rakyat Palestin.

“Laluan kepada ZIM juga sekadar kebenaran kepada perjalanan sesebuah kapal tanpa memperlihat sebarang sokongan kepada rejim Israel dan tindakannya membunuh rakyat Palestin.
 
“Ini berbeza dengan menjadi ahli dan penyokong pertubuhan pro-Zionis yang jelas mendukung cita-cita Israel melakukan penghapusan etnik orang Palestin menerusi genosid dan pembunuhan besar-besaran,” katanya.

Beliau dalam pada itu menyokong tindakan kerajaan menyekat ZIM daripada berlabuh di pelabuhan Malaysia.

“Ini kerana tindakan melampau dan tiada perikemanusiaan Israel terhadap penduduk Palestin perlu dikeji dan apa-apa tindakan protes yang boleh dilakukan harus diambil,” katanya.

Terdahulu dalam kenyataannya, Anwar berkata, kerajaan Malaysia memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam Malaysia.

Menurutnya, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusian dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin. – 20 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Dublin-based M’sian child psychiatrist who groomed, sexually abused teen jailed for 8.5 years

Amirul Arif Mohd Yunos pleads guilty to six charges of sexual crimes against minor, banned from practising the field in Ireland from now on

Regulating social media to protect children is a multi-agency effort, groups tell MCMC

Children’s issues cover many facets thus their digital rights and freedom of expression must not be restricted in the process of licensing platforms  

Book vouchers for students: MoE, MoHE unaligned on distribution method?

Fadhlina Sidek, in a ministry statement, says those eligible can claim through its Delima app via Kota Buku Digital feature, but Datuk Seri Zambry Abdul Kadir says mechanism will be disclosed later

Related