KUALA LUMPUR – Ibu bapa, rakan dan pihak sekolah akan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes Muhammad Daniel Akmal Zulkhairi yang melarikan diri dari asrama sebuah sekolah di Cheras pada 7 Disember lalu gara-gara tidak tahan dibuli.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya sudah menerima laporan yang dibuat keluarga mangsa tengah hari semalam.
Menurutnya, kes membabitkan pelajar lelaki berusia 14 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Siasatan dijalankan oleh D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur,” katannya seperti dilaporkan BH.
Allaudeen berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas selesai perhimpunan bulanan, hari ini.
Terdahulu, ibu kepada pelajar lelaki terbabit membuat laporan di Pondok Polis Hospital Cancelor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini pada jam 11.16 pagi semalam.
“Saya buat laporan polis secara berseorangan kerana anak saya masih menerima rawatan di HCTM.
“(Namun) Anak saya semakin pulih dan sudah bersedia untuk beri keterangan kepada pihak polis sekiranya diperlukan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Daniel Akmal yang hilang pada 7 Disember lalu, mendakwa melarikan diri dari asrama kerana tidak tahan dibuli.
Ibu mangsa, Shuhada Jamaludin, 38, sebelum ini memaklumkan, anaknya itu ditemui selamat oleh orang awam ketika berada di pondok menunggu bas di hadapan Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak di sini pada 8 Disember.
Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan buli membabitkan pelajar itu dan akan memastikan perkara berkenaan diselesaikan segera.
Keluarga pelajar berkenaan juga sebelum ini dilapor akan mengambil tindakan perundangan bagi memperjuangkan nasib mangsa yang didakwa dibuli dengan teruk. – 20 Disember, 2023