KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang baharu, Datuk Armizan Mohd Ali perlu memperkenalkan satu konsep baharu bagi mengelakkan beliau dibayangi pendahulunya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mempelopori inisiatif Payung Rahmah.
Pakar geostrategi, Prof Azmi Hassan berkata, idea konsep baharu itu juga penting kerana rakyat sudah tentu akan membuat perbandingan prestasi kerja Armizan dengan Salahuddin yang amat dekat di hati rakyat kerana konsep Rahmahnya.

“Ya betul (sudah pasti) perbandingan akan dilakukan, sebab itu beliau perlu memperkenalkan satu konsep baru mengenai cara untuk mengurangkan kos sara hidup. Ini kerana konsep Rahmah itu lebih menjurus kepada harga barang seperti harga sepinggan nasi.
“Apa yang perlu dilakukan beliau ialah (idea konsep) perlu lebih menjurus kepada perkara dasar yang dapat mengurangkan bebanan dihadapi rakyat setiap hari. Bukan sahaja dari segi kos harga makanan yang tinggi tetapi kos perkhidmatan lain,” katanya kepada Scoop.
Susulan itu, katanya, tugas berat kini dipikul Armizan yang perlu membantu rakyat dalam mendepani cabaran ekonomi semasa berlandaskan konsep Madani.
“Sebab itu dikatakan cabarannya adalah getir kerana apa saja konsep kos sara hidup itu amat menjadi perhatian semua pihak, bukan sahaja golongan kurang berkemampuan tapi mereka yang berkeupayaan tetapi mahukan kos sara hidup mereka menjadi lebih rendah.
“(Jadi) Apa perlu dilakukan lebih menjurus kepada dasar iaitu mengurangkan bebanan dihadapi rakyat. Itu perlu dilihat beliau. Jangan terhadap pada konsep Rahmah (harga makanan) tetapi perkara lain termasuk sewa rumah dan kos pengangkutan,” katanya.
Terdahulu, dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 11 Disember lalu, Armizan dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin sejak lima bulan lalu.
Beliau sebelum ini memangku kementerian berkenaan selepas kematian mengejut Salahuddin.
Armizan bertukar portfolio daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak serta Tugas-Tugas Khas) kepada Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Mengulas lanjut, Azmi berpendapat, Armizan dilantik menerajui kementerian itu kerana Perdana Menteri dapat melihat keserasian beliau dengan timbalannya, Fuziah Salleh sepanjang tempoh lima bulan beliau memangku jawatan tersebut.
“Jadi itu sebabnya Anwar menilai (Armizan) walaupun jawatan itu asalnya milik Amanah tapi diberikan kepada Armizan. Pada masa sama, Amanah sudah memperolehi jawatan menerusi Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).
“Sebelum itu beliau dipanggil untuk memangku tugas, mungkin ada kelebihannya. (Dan) Dalam hal ini, tempoh lima bulan (memangku) sudah cukup menilai sama ada efektif atau tidak beliau sebagai menteri. Sebab itulah, dia dikekalkan jawatan pemangku ke jawatan tetap,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Ahmed Razman Abdul Latiff pula berpendapat, pelantikan Armizan tidak mengejutkan kerana beliau sebelum ini sudahpun diberikan tugas untuk memangku kerusi tersebut selepas pemergian Salahuddin.
Malah, katanya, meskipun kurang dikenali di Semenanjung, beliau merupakan pemimpin politik lama di Sabah.
“Jadi saya tidak lihat sebarang masalah untuk beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Pada masa sama, beliau sudah tentu mempunyai kepimpinan dan integriti tinggi untuk memastikan segala dasar dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak yang diharapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata, cabaran besar Armizan ketika ini adalah memikirkan langkah terbaik untuk menangani kos sara hidup rakyat sama ada di bandar mahupun luar bandar.
Katanya, ini kerana, kos sara hidup akan terus menghantui rakyat memandangkan tahun depan beberapa subsidi pukal akan dialihkan kepada subsidi bersasar.
“Peralihan bentuk subsidi itu pastinya akan meningkatkan kadar inflasi di negara kita.
“Namun saya tetap yakin dengan adanya kerajaan Perpaduan yang stabil dan barisan Kabinet baharu, semua cabaran itu mampu ditangani dengan baik,” katanya. – 19 Disember, 2023