KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza meninggal dunia di Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM) di sini, jam 3.30 petang tadi.
Berita sedih itu dikongsi rakan artis yang juga penyanyi seangkatan, Salwa Abdul Rahman menerusi hantaran di Instagram.
Ibnor atau nama penuhnya Ibnor Riza Ibrahim menghembuskan nafas terakhir pada usia 62 tahun selepas derita kanser limfoma tahap empat yang merebak ke bahagian otak.
“17.12.23. Sahabatku dah (sudah) xde (tiada). Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya.
Semalam penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu dilaporkan kritikal dan masih ditidurkan selepas menjalani pembedahan mengeluarkan air dalam kepalanya pada 2 Disember lalu.
Pada 2 Disember lalu, Ibnor menjalani pembedahan di HCTM bagi membuang air pada bahagian kanan kepala susulan kanser limfoma dihadapinya sudah merebak ke bahagian otak.
Allahyarham bagaimanapun tidak sedarkan diri selepas pembedahan dijalankan.
Ibnor yang disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu sehingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan kali.
Sejak disahkan sakit, dia membelanjakan sekitar RM80,000 bagi kos perubatan dengan menggunakan kesemua wang simpanan selain menjual tiga buah kereta miliknya.
Arwah bergelar penyanyi bermula tahun 1984. Beliau terkenal dengan lagu-lagu malar segar antaranya Mimpi Tak Sudah dan Meneka Dalam Kesamaran.
Sementara itu isterinya, Sarimah Suleiman berkata, arwah dijangka dikebumikan di Negeri Sembilan. – 17 Disember, 2023