KUALA LUMPUR – Tujuh individu sudah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang pelajar lelaki tingkatan lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Meru, Ipoh, kelmarin.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua mereka merupakan antara saksi di tempat kejadian.
“Sama ada, terdapat saksi lain yang akan dipanggil, ia bergantung kepada siasatan. Setakat ini, seramai tujuh saksi yang berada di lokasi kejadian telah tampil beri keterangan.
“Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya seperti dilaporkan Utusan.
Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut, turut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Katanya, pegawai terbabit kini direman selama tiga hari bermula semalam selepas pihak polis mendapat perintah itu daripada Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan dalam prosiding yang dijalankan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.
Kelmarin, Scoop melaporkan, Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan mengesahkan pemandu yang terbabit dalam kemalangan melanggar pelajar itu hingga maut, adalah seorang anggota berpangkat pegawai kanan polis dari Kontinjen Kedah.
Jelasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai sendiri sekiranya mempunyai bukti kukuh.
Kelmarin, Muhammad Zaharif Affendi yang juga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) SMK Jati, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari belakang oleh kereta dipandu suspek.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas pemandu terbabit tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa membuat bunyi bising ekzos ketika perjalanan pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal jenis Yamaha.
Dikatakan, ketidakpuasan hati itu mendorong pemandu berkenaan mengejar motosikal ditunggang remaja tersebut kira-kira satu kilometer (km) sebelum melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang masih lengkap berpakaian sukan sekolah terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan terbabit.
Saksi kejadian turut memaklumkan, pemandu kereta berkenaan kemudiannya berpatah balik ke lokasi untuk melihat keadaan mangsa sebelum beredar selepas menyedari kehadiran orang ramai.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini untuk bedah siasat. – 17 Disember, 2023