KUALA LUMPUR – Seorang bapa kecewa apabila anaknya yang juga pelajar sekolah menengah, digunakan dalam ‘content video’ (kandungan video) dan pemasaran Akademi Ikon Muda Malaysia (Aikom) serta di media sosial seorang daripada krewnya, Amir Syahmi.
Aikom merupakan sebuah badan perunding pendidikan yang sudah berpengalaman selama 15 tahun memberi motivasi kepada pelajar di sekolah.
Menerusi perkongsiannya yang tular di Facebook, Azrul Adnan mempersoalkan sama ada Aikom ada meminta izin pihak sekolah, guru dan ibu bapa untuk menggunakan wajah pelajar sebagai bahan pemasaran mereka.
“Anak-anak kami bukan talent (bakat) percuma yang kalian boleh perdagangkan secara percuma untuk digunakan sebagai alat atau bahan marketing (pemasaran).
“Sudah pasti pihak sekolah membayar kalian untuk program tersebut. Sebagai salah seorang ibu bapa yang anaknya digunakan dalam kandungan video itu, saya sangat kecewa dengan tindakan itu.
“Saya sebagai ibu bapa tidak mengizinkan bahkan mengharamkan kalian menggunakan wajah anak saya!” katanya.
Malah Azrul berkata, pengisian jenaka berunsur ‘pick up line’ yang diterapkan dalam motivasi pihak Aikom di sekolah wajar dihentikan.
BUDAYA “GATAL” YANG DIBAWA MASUK KE SEKOLAH?
— Aliff Ahmad (@Alturkistiano) December 16, 2023
Screen record ini, ini kali, aku sendiri yang buat. Kalau nak menipu lagi kata dah delete lama. Silakan. Aku dah cakap, aku tak kata salah. Kalau ia memang baik dan dipersetujui semua. Aku mohon berkhilaf sebab aku tak setuju.
Tapi,… pic.twitter.com/LxSuv2tux1
Sebaliknya, katanya, pelajar perlu didedahkan dengan aktiviti yang lebih berfaedah seperti kemahiran berdebat dan pengucapan awam (public speaking).
“Saya tidak nampak apa keperluan. Nampak lebih menjadikan remaja berani menggatal. Jika mahu menjadikan mereka berani, wajar menggalakkan mereka buat public speaking atau berdebat.
“Jika mahu mereka berseni, budaya kita sudah ada pantun dan gurindam, sajak dan syair. Saya faham ia hiburan, ia jenaka. Tapi, sebagai pasukan perunding, takkan kalian tidak mampu menghasilkan hiburan dan jenaka yang bersifat ilmiah dan matang,” katanya.
Susulan itu, Azrul berkata, budaya menormalisasikan perkara yang tidak mendatangkan faedah di sekolah harus dihentikan segera.
“Saya mengharapkan sekolahlah benteng terakhir menjaga dan menerapkan gagasan budaya timur kita. Kita sudah tidak mampu mengawal media sosial, media massa, dan hiburan di luar sana.
“Tetapi, apabila kalian juga membawa masuk budaya tersebut ke dalam sekolah. Apalah daya saya untuk menghalang. Saya orang biasa-biasa, tidak punya wang yang banyak, suara saya terhad,” katanya.
Dakwanya, dia pernah menegur pihak Aikom dan Amir Lala berkaitan perkara tersebut tetapi disekat selepas itu.
“Justeru, saya mohon simpati kalian dan perhatian pihak sekolah untuk menghentikan kemasukan modul program motivasi yang tidak membawa budaya timur dan akhlak Islam.
“Jadikanlah sekolah benteng terakhir pertahanan daripada segala pengaruh media sosial, viral, trending, dan apa saja yang tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anak bangsa kita,” katanya.
Pada masa sama, Azrul turut mencadangkan pihak sekolah supaya tidak menjemput pempengaruh atau selebriti yang mempunyai pengikut ramai di media sosial untuk memberikan motivasi kepada pelajar.
“Mohon pihak sekolah menjemput penceramah yang ada ‘track record’ atau ‘success story’ yang sebenar untuk memberikan motivasi.
“Bukan sekadar influencer (pempengaruh) atau selebriti yang punya ramai pengikut di media sosial,” katanya.
Perkongsian tersebut turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna X yang turut tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Pick up line satu hal, lepas tu menggeletis malu-malu kucing kat depan. Cikgu-cikgu dan penceramah motivasi pula galakkan lagi. Memang ngam lah tu, sangat membina sahsiah dan jati diri,” kata @AleesyaRiani.
“Ntah apa-apalah. Betullah gatal tu duk pick up line bodoh-bodoh macam tu. Pihak sekolah memang pemikiran begini ke sekarang? Aku tengok bebas je budak sekarang buat macam tu dekat cikgu-cikgu. Kalau aku pun memang 100 peratus takkan setujulah benda macam ni. Tak de motif pun semua ni,” kata @Mast851.
Sementara itu, terdapat netizen yang meminta penjelasan Menteri Pelajaran, Fadhlina Sidek berhubung perkara tersebut.
“Apa komen @FadhlinaSiddiq @KemPendidikan?” kata @thenicetrader.
@FadhlinaSiddiq tolong haramkan budaya ini,” kata @ubik50. – 16 Disember, 2023