KUALA LUMPUR — Usaha mengesan seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun yang hilang selepas terjatuh ke dalam longkang sedalam enam kaki berdekatan Bank Muamalat, Jalan Ismail, Kluang, Johor, petang semalam diteruskan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor berkata, operasi pencarian telah dijalankan di sepanjang longkang tersebut yang menghubungkan Sungai Mengkibol, namun setakat ini masih belum menemui mangsa.
Jelasnya, kejadian itu dirakamkan oleh CCTV berhampiran sebelum polis memohon bantuan daripada Bomba.
“Mangsa telah terjatuh ke dalam longkang sedalam 6 kaki dan dipenuhi air akibat hujan lebat pada petang semalam, sebelum hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah digerakkan oleh Bomba dari Balai Bomba Kluang diketuai oleh Mohd Dauzi Md Nor,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JBPM lagi, sehingga 3.30 petang tadi, operasi pencarian telah diperluaskan di permukaan Sungai Mengkibol dengan menaiki bot sejauh 3 kilometer dari lokasi longkang tersebut. – 15 Disember, 2023