Malaysia sokong resolusi UNGA tuntut gencatan senjata di Gaza

Sokongan padu terhadap resolusi itu oleh sekumpulan negara mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang adil, berkekalan dan damai terhadap konflik Palestin-Israel

12:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong dan menaja bersama draf resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (UNGA) menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza pada Selasa, menurut Kementerian Luar (Wisma Putra).

Bertajuk “Protection of civilians and upholding legal and humanitarian obligations”, resolusi itu diterima pakai semasa Sesi Khas Tergempar (ESS) Ke-10 UNGA yang disambung semula dengan 153 undi menyokong, 10 menentang manakala 23 lagi berkecuali.

Sokongan padu terhadap resolusi itu oleh sekumpulan negara mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian yang adil, berkekalan dan damai terhadap konflik Palestin-Israel.

“Ini menjadi lebih mendesak memandangkan tragedi kemanusiaan yang mengerikan yang sedang berlaku di Semenanjung Gaza akibat serangan Israel yang tidak henti-henti,” menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Rabu.

ESS ke-10 disambung semula atas permintaan bersama oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berikutan tindakan Amerika Syarikat (AS) di Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat memveto resolusi yang menuntut gencatan senjata segera untuk menghentikan pertumpahan darah di Gaza.

Malaysia bersama Bangladesh, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Namibia, Afrika Selatan, Thailand, Timor-Leste dan Turkiye menyokong permintaan bersama itu.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan adalah jelas bahawa Majlis Keselamatan gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan penerimaan resolusi itu mengesahkan semula peranan penting Perhimpunan Agung dalam perkara yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

“Majlis Keselamatan seharusnya memberi keutamaan kepada tuntutan majoriti berbanding kehendak segelintir pihak yang mementingkan diri,” menurut kenyataan itu.

Resolusi itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap situasi malapetaka kemanusiaan di Semenanjung Gaza dan menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera serta menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan, selain memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan.

Selain itu, resolusi berkenaan turut menggesa semua pihak untuk mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa, terutamanya berkaitan perlindungan orang awam.

Wisma Putra berkata, Malaysia menegaskan bahawa satu-satunya penyelesaian yang berkekalan terhadap malapetaka yang menghancurkan itu ialah dengan memberikan rakyat Palestin negara merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. – 13 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

Related